Sokongan Melayu meningkat sikit kepada PH tapi tak mencukupi: Rafizi

May 13, 2025 · Politik

Rafizi Ramli menyuarakan kebimbangan sokongan orang Melayu yang masih tidak memuaskan kepada Pakatan Harapan (PH) walaupun sudah menjadi kerajaan di peringkat pusat.

Calon Timbalan Presiden PKR itu mendedahkan peningkatan sokongan orang Melayu kepada PH masih terlalu kecil berada pada kadar 27 peratus setakat April tahun ini, meningkat sedikit daripada 20 peratus pada Ogos 2020.

Dakwa Rafizi lagi, berasaskan data yang digunakannya sokongan Melayu terhadap Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (BN) juga menurun kepada 48 peratus, namun pecahan prestasi setiap gabungan tidak ditunjukkan.

Lebih membimbangkan, kadar pengundi Melayu yang belum membuat keputusan kini mencecah 26 peratus.

Ujarnya lagi, meskipun sokongan kepada PH ada peningkatan tetapi ia masih tidak signifikan untuk membantu mereka memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) depan kerana ia masih tidak dapat menyaingi sokongan orang Melayu kepada pembangkang.

Rafizi berkata, jika PKR ingin mengekalkan 30 hingga 40 kerusi Parlimen, parti itu memerlukan sekurang-kurangnya 35 peratus sokongan Melayu.

“Kita hanya ada dalam dua tahun lagi. Kalau setiap bulan (sokongan Melayu) mendatar atau naik satu peratus sahaja, saya bimbang.

“Kalau kita tak cecah 35 peratus (sokongan Melayu),buatlah macam mana pun, peluk dan damaikan akar umbi macam mana pun, kita tak akan menang PRU akan datang,” katanya dalam ceramah di Seremban.

Bagaimanapuna, Rafizi tidak menunjukkan saiz sampel, margin ralat atau metodologi dalam pembentangan data tersebut.

Namun, berdasarkan rekod terdahulu ketika dia mengemudi Invoke, kaedah persampelan perwakilan lazim digunakan, dengan saiz sampel yang besar.

Selain isu sokongan Melayu yang tidak mencukupi, Rafizi berkata sokongan bukan Melayu terhadap PH juga merosot dengan pantas.

Sokongan pengundi Cina dan India jatuh daripada sekitar 56 dan 50 peratus pada Ogos 2024 kepada hanya 31 peratus pada April lalu.

Rafizi berkata ini adalah satu trend yang seharusnya membimbangkan bukan sahaja PKR tetapi juga DAP.

“Ada orang akan kata, ‘jangan bimbanglah, pengundi Cina tak akan undi PN sebab ada PAS’.

“Agaknya apa yang pengundi Cina akan buat? Mereka akan buat seperti mana nasib kita di (PRK) Sungai Bakap – tak keluar mengundi,” kata Rafizi.

Dalam beberapa PRK sebelum ini, katanya, peratusan keluar mengundi pengundi Cina bawah 40 peratus, manakala pengundi Melayu lebih 70 peratus.

Jika trend ini berterusan dalam PRU, Rafizi berkata semua kawasan campuran yang ditandingi PKR akan menjadi kawasan majoriti Melayu dan dengan kadar sokongan Melayu yang rendah, ia akan membawa padah kepada parti itu.

Dia turut memberi peringatan bahawa rasa tidak puas hati pengundi India terhadap kerajaan pada masa ini kian meningkat.

Bagi menjelaskan sentimen pengundi, Rafizi berkata peningkatan sokongan Melayu yang perlahan selari dengan tahap rasa puas hati pengundi terhadap pengurusan ekonomi oleh kerajaan, yang kini berada pada 31 peratus, manakala kadar pengundi yang tidak puas hati menurun kepada 47 peratus.

Dia yang juga Menteri Ekonomi berharap keyakinan pengundi terhadap ekonomi dapat meningkat kepada 40 peratus menjelang PRU akan datang.

Namun, ia dibebani oleh faktor lain: keyakinan terhadap keupayaan kerajaan menangani isu rasuah.

Carta yang dikongsi Rafizi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap usaha kerajaan memerangi rasuah melebihi 20 peratus sejak Ogos 2024 dan meningkat melangkaui 30 peratus sejak Januari tahun ini.

Keyakinan terhadap usaha PKR memerangi rasuah adalah paling rendah dalam kalangan pengundi Gen Z yang berumur 18 hingga 27 tahun, iaitu hanya lapan peratus, serta pengundi milenial berumur 28 hingga 44 tahun.

Secara keseluruhan, Rafizi berkata PKR ketinggalan di belakang PAS dari segi keyakinan pengundi terhadap usaha membanteras rasuah.

Berita berkaitan
Rumah bangsa UMNO terima respons positif: Mat Maslan
March 10, 2026· Politik
Rafizi sebenarnya bersedia untuk dipecat, tak sangka PKR masih kekalkannya
March 8, 2026· Politik
Perjanjian dengan Arm Holdings dibuat ikut prosedur: Akmal Nasrullah
March 6, 2026· Isu semasa
SPRM nafi dakwaan bekas pembantu Rafizi, gesa tampil beri kerjasama
March 5, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
SPR nafi tarikh PRU-16 tular
4 jam lalu · Politik
Desakan RCI mafia korporat hanya ‘Drama Politik’ DAP: Ahmad Fadhli
5 jam lalu · Politik
Najib teruskan rayuan hina mahkamah isu titah adendum
5 jam lalu · Politik
PAS tolak ‘Rumah Bangsa’ kerana UMNO masih dengan DAP: Hadi
March 12, 2026 · Politik
AMK: Kenyataan PM berhubung kesan ekonomi global perlu dipandang serius
March 12, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
February 13, 2026
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan
February 13, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok