Kes rasuah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita beberapa aset bernilai tinggi berjumlah RM9.7 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes penyelewengan pelaburan melibatkan seorang pakar pelaburan terkenal.
Menurut sumber, aset yang disita merangkumi satu lot tanah bernilai RM1.8 juta, enam unit rumah bernilai keseluruhan RM6.54 juta serta dua kenderaan mewah dianggarkan RM1.35 juta.
Selain itu, sebanyak 14 akaun bank turut dibekukan, namun nilai keseluruhannya masih dalam proses pengesahan oleh pihak perbankan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan tindakan sitaan berkenaan dan memaklumkan setakat ini seramai 10 saksi telah dipanggil untuk dirakam keterangan.
“SPRM sedang giat mengesan saksi tambahan bagi membantu melengkapkan siasatan. Kami komited untuk menyelesaikan kes yang melibatkan kepentingan awam ini dengan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Individu utama dalam siasatan itu sebelum ini direman selama empat hari bagi membantu siasatan selepas perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang wanita yang turut disiasat telah dibebaskan dengan jaminan selepas lima hari direman.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu.
Laporan awal media mendedahkan siasatan tertumpu kepada dakwaan penyelewengan dana hampir RM300 juta yang dikutip daripada kira-kira 1,700 pelabur antara tahun 2021 hingga 2024.
Dana berkenaan didakwa sepatutnya digunakan untuk tujuan pelaburan dalam dua syarikat tertentu, namun siasatan awal mendapati wang itu digunakan bagi tujuan lain yang tidak dinyatakan dalam perjanjian pelaburan.
Kes ini mendapat perhatian ramai berikutan jumlah kerugian yang besar serta melibatkan pelabur awam dari pelbagai latar belakang.
SPRM menegaskan siasatan masih berjalan dan tidak menolak kemungkinan tindakan lanjut termasuk pendakwaan akan diambil selepas siasatan lengkap.
Jangan serah keselamatan digital anak kepada platform semata-mata
Dana Inovasi Media: Fahmi mahu AI bantu wartawan, bukan ganti mereka
Kes scam: Tawaran komisen RM1,200, wanita rugi RM72,467
Pengendali aplikasi TuJu mohon maaf, navigasi dijangka pulih 6 November
MCMC siasat Facebook gagal sekat video serangan guru: Fahmi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum