Presiden FMM, Soh Thian Lai.
Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM) secara rasmi menggesa kerajaan agar mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi mengurangkan beban kos dan kerumitan pematuhan yang dialami industri bawah sistem cukai sedia ada.
Gesaan itu dibuat berikutan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang didapati membebankan banyak pengilang.
Presiden FMM, Soh Thian Lai, berkata majoriti ahlinya memihak kepada sistem percukaian yang lebih telus seperti GST, yang dapat mengelakkan isu cukai berganda dan membenarkan syarikat menuntut semula kredit cukai input.
“Masalah utama yang dilaporkan oleh 59 peratus responden adalah peningkatan kos operasi akibat perkhidmatan yang baru dikenakan cukai, seperti perkhidmatan pembinaan dan sewaan,” kata Thian Lai semasataklimat Tinjauan Keadaan Perniagaan Separuh Pertama 2025 di Wisma FMM hari ini.
Beliau menekankan hampir separuh daripada pengilang (44 peratus) melaporkan pelaksanaan SST yang diperluas telah memberi impak signifikan kepada operasi mereka, manakala 11 peratus lagi mengalami gangguan besar.
Isu pematuhan juga membelenggu sektor pembuatan.
Sebanyak 35 peratus syarikat melaporkan kesukaran menuntut pengecualian ke atas bahan mentah, manakala 35 peratus yang lain bergelut untuk menentukan klasifikasi cukai jualan yang betul bagi produk mereka.
“Kerumitan ini ditambah lagi bagi 36 peratus syarikat yang menghasilkan barangan bercampur, menjadikan proses pematuhan lebih kompleks.
“Malah, sesetengah syarikat mengakui masih keliru mengenai klasifikasi produk di bawah peraturan baharu,” tambahnya lagi..
Sebagai langkah segera, FMM mengemukakan beberapa permintaan kepada kerajaan.
Permintaan utama, disokong 65 peratus responden, ialah untuk memperluas pengecualian cukai ke atas input industri penting.
Seterusnya, separuh daripada responden meminta keputusan klasifikasi produk yang lebih pantas dan jelas.
“Isu SST ini menambah lagi tekanan sedia ada, di mana pengilang juga sedang berdepan dengan kenaikan kos input dan kesan tarif perdagangan AS. Sokongan kerajaan dilihat amat kritikal pada masa ini,” ujarnya lagi.
Dengan 47 peratus syarikat menjangkakan keuntungan merosot, sektor pembuatan menghantar isyarat jelas bahawa rangka kerja SST semasa memerlukan kajian semula segera serta jangka panjang, termasuk kemungkinan kembali kepada GST untuk menjamin daya saing.
Aminuddin gesa tindakan tegas terhadap pihak hina institusi diraja
RCI Tabung Haji: Kerajaan buat keputusan Rabu ini
CTPR: MCMC perkukuh kapasiti kawal selia digital Malaysia, ASEAN
Jangan heret istana dalam politik : Istana Negeri Sembilan
Ringgit dibuka tinggi menjelang PRN Negeri Sembilan: Bernama
[VIDEO] Khaled Nordin lekeh Bersatu macam budak-budak, banyak mana pengalaman dia dengan saya?
[VIDEO] Nasir Rahman tekad bantu peniaga dan anak muda Bagan Pinang jika dipilih