Kerajaan menanggung subsidi bahan api demi kepentingan rakyat.
Kerajaan memberi komitmen untuk mengekalkan subsidi petrol BUDI95 bagi membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup susulan ketidaktentuan ekonomi global dan krisis bekalan yang semakin meruncing.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, krisis di Asia Barat dijangka memasuki gelombang kedua dan memberi kesan langsung kepada harga serta bekalan pelbagai barangan harian berasaskan petrokimia.
Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan Malaysia, malah turut dirasai banyak negara lain yang bergantung kepada rantaian bekalan global.
“Seperti dijelaskan oleh Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Nurhisham Hussein, krisis semasa memberi kesan kepada bekalan dan harga pelbagai produk harian termasuk lampin pakai buang serta barangan plastik,” katanya menerusi hantaran di platform X, hari ini.
Menurutnya, kerajaan turut mengambil langkah awal membantu industri yang bergantung kepada bahan mentah berasaskan petrokimia supaya operasi dan pengeluaran dapat diteruskan tanpa gangguan besar.
Selain itu, bantuan juga disalurkan kepada golongan petani, penjaja dan peniaga kecil yang terkesan akibat peningkatan kos operasi serta gangguan rantaian bekalan.
“Kerajaan juga memperluaskan kemudahan pinjaman kepada perniagaan kecil bagi membantu mereka menghadapi tekanan kos semasa,” katanya.
BUDI95 diperkenalkan sebagai antara inisiatif kerajaan untuk memastikan rakyat terus menikmati subsidi bahan api secara bersasar ketika kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi secara berperingkat.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution mengingatkan rakyat supaya lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah dan menyesuaikan gaya hidup mengikut keadaan semasa.
“Apa yang penting ketika ini adalah kesiapsiagaan kita semua. Kita perlu menyesuaikan penggunaan harian secara lebih berhemah, khususnya membabitkan barangan berasaskan petrokimia,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan yakin negara mampu menghadapi cabaran semasa dengan baik sekiranya semua pihak bekerjasama secara tersusun dan bertanggungjawab.
Sultan Selangor gering, istiadat 1 November ditunda
Kerajaan lulus RM250 juta siapkan KB Sentral, tambah bantuan pendidikan Islam Kelantan
Dana Inovasi Media: MPI hargai komitmen kerajaan perkukuh industri media
Bantu golongan miskin tanggungjawab kerajaan: Anwar
PMX umum tambahan geran bantu usahawan kecil sebanyak RM200 juta
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum