Bloomberg sebelum ini melaporkan isu pemilikan saham Azam Baki.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kontroversi pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
Gesaan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap ketelusan dan kredibiliti proses siasatan sedia ada.
Pengerusi Suhakam, Mohd Hishamudin Md Yunus berkata jawatankuasa siasatan khas ketika ini tidak mempunyai kuasa statutori mencukupi.
Menurutnya, RCI mempunyai bidang kuasa lebih luas termasuk memanggil saksi, mengambil keterangan di bawah sumpah dan mengarahkan penyerahan dokumen.
“Kuasa ini penting bagi memastikan siasatan benar-benar menyeluruh, bebas dan telus terhadap semua dakwaan yang timbul,” katanya dalam kenyataan.
Kontroversi ini tercetus selepas laporan Bloomberg mendakwa terdapat pemilikan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan dokumen pemfailan korporat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Bagaimanapun, Azam sebelum ini menegaskan pegangan saham bernilai kira-kira RM800,000 itu dibuat secara telus dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Hishamudin menegaskan siasatan tidak boleh bersifat terhad atau selektif, sebaliknya perlu merangkumi semua dakwaan serius yang diketahui umum termasuk dakwaan berkaitan pakatan sulit.
“Pendekatan separa boleh menimbulkan persepsi berat sebelah dan menjejaskan keyakinan orang ramai,” katanya.
Beliau turut menambah kebebasan institusi penyiasatan amat penting bagi mengelakkan konflik kepentingan, sama ada secara nyata atau persepsi awam.
Menurut beliau, badan siasatan juga tidak wajar diketuai oleh Peguam Negara kerana fungsi penyiasatan dan pendakwaan perlu dipisahkan bagi menjaga prinsip keadilan.
Sebagai alternatif, beliau mencadangkan kepimpinan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang bebas dan dihormati seperti Tengku Maimun Tuan Mat.
Isu ini mendapat perhatian meluas kerana melibatkan integriti institusi penguatkuasaan utama negara.
Pemerhati melihat langkah menubuhkan RCI sebagai mekanisme penting untuk memulihkan keyakinan awam terhadap sistem keadilan dan integriti pentadbiran negara.
1.88 juta rakyat nikmati manfaat MySalam: Fahmi
J-KOM buat laporan polis terhadap Albert Tei buat kecoh di kementerian
Kadar pengangguran naik sedikit pada April: DOSM
Cucu dedah dakwa dirogol, warga emas direman enam hari
Malaysia teroka sumber minyak baharu, utamakan kesesuaian fasiliti tempatan
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi