Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, meluahkan rasa dukacita dan ketidaksetujuan terhadap perancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk memindahkan operasi penternakan babi ke Bukit Tagar, Hulu Selangor menjelang 2030.
Baginda bertitah tidak bersetuju dengan rancangan kerajaan negeri tersebut terutamanya jika ia membabitkan penternakan berskala besar dan berorientasikan eksport.
Secara prinsipnya, baginda mengakui kewujudan penternakan kecil dan terkawal bagi memenuhi keperluan makanan bukan Islam di negeri ini.
“Namun, perancangan berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya Islam,” titah baginda.
Baginda turut membangkitkan kebimbangan mendalam memandangkan kawasan Kuala Langat yang didiami ramai penduduk Melayu masih menghadapi masalah berkaitan penternakan babi yang belum diselesaikan sejak 2010.
“Penduduk sekitar sudah lama menanggung pelbagai kesan negatif termasuk bau busuk yang berlarutan, pencemaran air sungai, serta masalah lalat yang tidak berkesudahan,” menurut titah tersebut.
Istana rasmi baginda, Istana Pantai Bahagia, yang terletak di Kuala Langat juga terjejas.
“Baginda menyaksikan secara langsung kesan pencemaran bau yang berpunca daripada aktiviti penternakan babi di kawasan berkenaan,” jelas kenyataan itu.
Justeru, baginda mengusulkan satu cadangan langsung iaitu agar wakil rakyat di Selangor yang menyokong keputusan itu agar berpindah ke kawasan ladang babi berhampiran.
“Baginda mengusulkan kepada wakil-wakil rakyat untuk tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi seperti di Kuala Langat serta menempuh sendiri pengalaman sebenar seperti yang dialami oleh penduduk sekitar,” ujarnya.
Di samping itu, baginda turut mempersoalkan motif sebenar di sebalik cadangan projek besar ini.
Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya kepentingan politik dan perniagaan tertentu, serta unsur rasuah atau ketirisan tadbir urus.
“Pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor,” titah Baginda lagi.
Baginda menyeru agar kajian pasaran yang teliti dan rasional dijalankan sebelum sebarang ketetapan muktamad dibuat.
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS, pelabur beralih kepada aset selamat
AKPS catat rampasan RM322 juta dalam tempoh 10 bulan
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
Infrastruktur digital negara perlu diperkukuh hadapi ancaman kuantum: Fahmi
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib