Syahredzan cadang peruntukan Ahli Parlimen ikut jumlah pengundi

August 19, 2026 · Politik

Peruntukan kepada Ahli Parlimen wajar ditentukan berdasarkan saiz kawasan dan jumlah pengundi bagi memastikan agihan dana lebih adil, kata Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

Beliau berkata, mekanisme pengagihan itu juga perlu diperuntukkan melalui undang-undang bagi melindungi hak pengundi tanpa mengira kawasan atau parti yang diwakili.

Menurutnya, Bangi antara kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi sangat tinggi dengan lebih 300,000 pengundi pada 2022, malah jumlah itu dipercayai terus meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Daripada segi jumlah pengundi berdaftar, Bangi kira-kira tiga kali ganda lebih besar berbanding purata kebangsaan bagi sesebuah kawasan Parlimen.

“Parlimen Hulu Langat mempunyai sekitar 160,000 pengundi, Putrajaya 42,000, manakala Puchong kira-kira 150,000 pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syahredzan berkata, tanggungjawab wakil rakyat bukan hanya tertumpu kepada pengundi berdaftar, sebaliknya turut melibatkan penduduk lain dalam kawasan berkenaan.

“Saya sendiri di Parlimen Bangi secara praktikalnya perlu berkhidmat kepada 700,000 penduduk, bukan sekadar 300,000 kerana saya tidak boleh mendiskriminasikan antara pengundi dan bukan pengundi,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan mengenai peruntukan kawasan Parlimen perlu mengambil kira bukan sahaja kesaksamaan akses kepada dana, tetapi juga jumlah peruntukan berdasarkan parameter jelas seperti jumlah pengundi dan keadaan khusus sesuatu kawasan.

Katanya, kos pengurusan pusat khidmat dan penggajian kakitangan juga perlu mengambil kira faktor lokasi kerana kos operasi berbeza mengikut kawasan.

Pada masa sama, Syahredzan menyokong supaya semua Ahli Parlimen menerima peruntukan tanpa mengira parti politik.

“Perlu ada undang-undang untuk mengkanunkan peruntukan kewangan bagi semua Ahli Parlimen tanpa mengira jalur politik. DAP akan menyokong Perdana Menteri bagi merealisasikan undang-undang sedemikian,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, dana pembangunan juga perlu mengambil kira perbezaan keperluan antara kawasan bandar dan luar bandar, terutama dari segi pembangunan infrastruktur.

“Undang-undang tersebut bukan sahaja perlu menjamin kesaksamaan dari segi akses kepada dana kawasan Parlimen, tetapi juga saksama dan berkadaran dengan jumlah pengundi serta mengambil kira keadaan khusus bagi setiap kawasan Parlimen,” katanya.

Syahredzan menegaskan, isu itu bukan berkaitan kepentingan Ahli Parlimen semata-mata, sebaliknya menyentuh hak rakyat yang diwakili.

“Jika tidak, tidak adil bagi pengundi di kawasan ini yang ‘berkongsi’ peruntukan dengan begitu ramai yang lain, berbanding kawasan yang lebih kecil,” katanya.

Isu peruntukan kawasan Parlimen sebelum ini menjadi perhatian susulan gesaan supaya kerajaan menetapkan mekanisme agihan dana secara lebih telus, adil dan tidak dipengaruhi kedudukan politik wakil rakyat.

Berita berkaitan
Syahredzan gesa siasat dakwaan MB Negeri Sembilan dipaksa tandatangan
September 9, 2026· Politik
Zahid nafi KKDW terlebih belanja projek jalan luar bandar
September 7, 2026· Isu semasa
Pelantikan Ketua Audit Negara perlu bebas campur tangan politik: Syahredzan
September 4, 2026· Politik
Guan Eng mahu Zahid dikenakan tindakan isu lebihan belanja di KKDW
September 4, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Zahid mahu jadi PM? Selesaikan dulu isu integriti – AMK
5 jam lalu · Politik
Jamil Khir didakwa tiga pertuduhan berkaitan kes aset TH
5 jam lalu · Politik
PAS tak perlu diuji, Sanusi bidas cadangan UMNO supaya lepaskan kerusi
5 jam lalu · Politik
Puad: Zahid mahu PRU-16 dipercepat kerana mahu jadi PM
16 jam lalu · Politik
Parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu hormati mandat diberi rakyat: Azman Abidin
23 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok