Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
Barisan Nasional (BN) masih belum membuat keputusan sama ada akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu sedang diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira perkembangan politik semasa serta sentimen akar umbi yang masih bercampur.
Menurutnya, keputusan akhir akan diputuskan kepimpinan UMNO dan BN selepas mengambil kira pandangan pimpinan Melaka.
“Itu akan diputuskan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Ab Rauf Yusoh dan keputusan akan dimuktamadkan oleh kepimpinan UMNO dan BN Melaka serta pusat.
“Sentimen akar umbi bercampur-campur. Jadi kita lakukan kajian terperinci,” katanya selepas merasmikan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia serta Festival Seni dan Kebudayaan Dunia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Kenyataan itu hadir ketika isu kerjasama BN-PH menjadi antara perkara utama yang diperhatikan menjelang PRN Melaka, khususnya selepas beberapa pemimpin UMNO dan PKR memberikan pandangan berbeza mengenai hala tuju kerjasama politik.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh sebelum ini dilaporkan berkata tidak akan bertanding pada PRN Melaka sekiranya BN memilih untuk bekerjasama dengan PH.
Pada masa sama, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim mempersoalkan keikhlasan BN dalam kerjasama dengan PH, termasuk dakwaan parti itu tidak menghormati mandat rakyat untuk memastikan kerjasama berkenaan bertahan sehingga tamat penggal Parlimen.
Ahmad Zahid berkata, kajian terperinci perlu dilakukan bagi memastikan keputusan yang dibuat tidak memberi kesan buruk kepada kedudukan BN.
“Jangan masuk ke lubuk di mana keli tidak boleh hidup ataupun ikan sepat tinggal tulang,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka memaklumkan PRN boleh diadakan pada bila-bila masa selepas perkembangan PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ketika ini, dengan tempoh akhir penggal pentadbiran negeri dijadual berakhir pada 31 Disember depan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Maslan sebelum ini memaklumkan isu kerjasama BN pada PRN Melaka akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 28 Ogos ini.
RCI Tabung Haji: Mahfuz bidas Hadi guna agama sebagai perisai melindungi rasuah
Bersatu bukan lagi ahli PN kerana bertanding guna logo sendiri: Takiyuddin
Lantang isu luar negara, kenapa diam isu Tabung Haji? – Fahmi sindir PAS
FELDA rugi RM2.3 bilion, pelaburan di Indonesia semasa era BN 2016 dipersoal: Radzi Jidin
Sudah lah tak hadir sidang khas Parlimen, Hadi persoal RCI TH dedah sekarang
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri