Anugerah Seri Angkasa.
Kementerian Komunikasi melanjutkan tempoh pencalonan bagi Anugerah Seri Angkasa (ASA) ke-37 sehingga 30 Jun ini bagi memberi peluang lebih luas kepada stesen penyiaran kerajaan dan swasta mengemukakan penyertaan masing-masing.
Menerusi satu kenyataan hari ini, kementerian memaklumkan tempoh pencalonan yang sebelum ini dijadualkan berakhir pada 22 Jun 2026 dipanjangkan selama lapan hari lagi bagi membolehkan lebih banyak karya berkualiti dipertimbangkan untuk anugerah berprestij itu.
Menurut kenyataan tersebut, semua pencalonan hendaklah dikemukakan melalui organisasi penyiaran berlesen dan karya yang dicalonkan mestilah pertama kali disiarkan di stesen penyiaran atau platform media baharu dalam tempoh antara 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2025.
“Tempoh Pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2026 yang dijadualkan berakhir pada 22 Jun 2026 dilanjutkan sehingga Selasa, 30 Jun 2026,” menurut kenyataan Jawatankuasa Pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2026.
Bagi memudahkan proses penghantaran pencalonan, Kementerian Komunikasi turut menyediakan kemudahan akses kepada Sistem Pencalonan Anugerah Seri Angkasa (myASA) di Makmal Komputer A, Aras 19, Kompleks Kementerian Komunikasi di Putrajaya.
Semua stesen penyiaran yang berminat boleh mengemukakan penyertaan bagi 60 kategori yang dipertandingkan secara dalam talian melalui portal rasmi Anugerah Seri Angkasa.
Anugerah Seri Angkasa merupakan acara tahunan yang mengiktiraf kecemerlangan industri penyiaran negara merangkumi penerbitan televisyen, radio serta kandungan media baharu.
Anugerah itu dianjurkan Kementerian Komunikasi sebagai platform menghargai penggiat industri yang menghasilkan karya kreatif, berkualiti dan memberi impak kepada masyarakat.
Sejak diperkenalkan, ASA menjadi antara pengiktirafan tertinggi dalam industri penyiaran Malaysia dengan penyertaan daripada pelbagai organisasi media dan syarikat produksi tempatan.
Pelanjutan tempoh pencalonan itu dijangka memberi ruang kepada lebih banyak organisasi penyiaran meneliti serta menghantar karya terbaik mereka sebelum tarikh tutup baharu pada 30 Jun ini.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum