Tiada gangguan bekalan diesel di stesen minyak: PDAM

July 1, 2026 · Isu semasa

Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) memberi jaminan pelaksanaan Budi Madani Diesel (Budi Diesel) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 yang bermula pada Rabu tidak akan menjejaskan bekalan diesel atau kapasiti simpanan di stesen minyak di seluruh negara.

Persatuan itu memaklumkan berdasarkan pemerhatian awal, transaksi pembelian diesel menerusi mekanisme Budi Diesel ketika ini masih rendah, iaitu kurang daripada 10 peratus daripada keseluruhan jualan diesel di stesen minyak.

Menurut PDAM, operasi stesen minyak khususnya di Semenanjung dijangka terus berjalan seperti biasa kerana sebahagian besar penggunaan diesel negara masih melibatkan sektor komersial, pengangkutan dan logistik yang kekal menggunakan mekanisme sedia ada seperti SKDS dan kad armada.

“Jumlah pembelian diesel melalui mekanisme Budi Diesel bagi pengguna individu masih kecil berbanding keseluruhan jualan diesel di stesen minyak. Oleh itu, sebarang peningkatan permintaan dijangka berada pada tahap terkawal dan mampu diserap oleh rangkaian logistik serta kapasiti simpanan sedia ada,” menurut kenyataan itu.

PDAM berkata, dari sudut kesiapsiagaan sistem, integrasi pengesahan MyKad di terminal pembayaran menunjukkan prestasi yang memuaskan, namun pengguna dan pengusaha stesen masih berada dalam fasa penyesuaian.

Katanya, masih terdapat pengguna yang kurang memahami syarat kelayakan, jenis kenderaan yang dibenarkan, kuota subsidi serta kaedah pembelian diesel bersubsidi.

Persatuan itu menjangkakan cabaran lebih ketara berlaku di Sabah dan Sarawak berikutan pelaksanaan Budi Diesel dan SKDS 2.0 dilakukan serentak di kedua-dua negeri tersebut.

“Pelanggan tempatan, pengguna komersial serta bukan warganegara memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan kaedah pembelian baharu, khususnya bagi mereka yang tidak layak menerima subsidi dan perlu membayar pada harga pasaran,” katanya.

Sehubungan itu, PDAM berharap kerajaan dan agensi berkaitan terus memperkukuh komunikasi awam sepanjang tempoh awal pelaksanaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

“Pihak stesen minyak tidak seharusnya dibiarkan bersendirian sebagai barisan hadapan untuk menjelaskan dasar subsidi kepada pelanggan, terutama apabila timbul kekeliruan atau pertikaian di kawasan pam,” menurut kenyataan itu.

PDAM turut memaklumkan syarikat minyak telah menyediakan latihan awal kepada pengusaha stesen melalui manual penggunaan, panduan operasi dan soalan lazim, namun usaha penerangan perlu diteruskan secara konsisten.

Mengenai pengurusan dua kategori diesel iaitu B7 pada harga pasaran serta B10 dan B15 yang dijual pada harga subsidi RM2.10 seliter, PDAM berpandangan ia bukan cabaran operasi yang luar biasa kerana sistem jualan sedia ada sudah lama mengendalikan produk pada harga berbeza seperti RON95 dan RON97.

Pada Selasa, Kementerian Kewangan mengumumkan kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di seluruh negara layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menerusi Budi Diesel.

Daripada jumlah itu, sekitar 400,000 pemilik berada di Semenanjung manakala 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Selain itu, kira-kira 70,000 kenderaan komersial dan pengangkutan barangan di Sabah, Sarawak serta Labuan kini layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter di bawah pelaksanaan SKDS 2.0.

Berita berkaitan
Seleweng 5,808 liter diesel, lelaki Myanmar dipenjara enam bulan
July 8, 2026· Isu semasa
Kerajaan siasat dakwaan stesen minyak rugi semasa pelaksanaan penyasaran subsidi
July 7, 2026· Isu semasa
BUDI Diesel catat 336,000 transaksi, subsidi cecah RM23 juta
July 5, 2026· Isu semasa
Surcaj elektrik dorong inflasi meningkat kepada 2.0%: BNM
June 30, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
MCMC perkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi Program MADANI Kita
9 jam lalu · Isu semasa
Tiada pemimpin boleh hina mana-mana kaum, PM ingatkan Sanusi
13 jam lalu · Isu semasa
Anwar yakin Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji
14 jam lalu · Isu semasa
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
15 jam lalu · Isu semasa
Tarif AS tidak setinggi negara lain, rundingan akan tetap diteruskan: PMX
July 24, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
7 jam lalu
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS
12 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok