Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan tiada sebarang usaha menutup kes atau “cover-up” dalam siasatan kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
Saifuddin Nasution menekankan semua tindakan pihak berkuasa dilakukan secara telus berdasarkan fakta dan bukti yang sah bagi memastikan keadilan ditegakkan untuk keluarga Zara Qairina.
“Tuduhan bahawa kes ini cuba ditutup atau dimanipulasi adalah tidak benar. Ini kes serius melibatkan kematian seorang kanak-kanak berusia 13 tahun, dan kami komited untuk memastikan keadilan ditegakkan mengikut undang-undang,” katanya selepas sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi, 16 Julai lalu.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu keesokan harinya.
Saifuddin Nasution menafikan dakwaan siasatan kes ini dipengaruhi oleh kedudukan atau pangkat mana-mana individu yang terlibat.
“Kami tidak melindungi sesiapa. Siasatan polis dilakukan secara menyeluruh dengan mengambil keterangan daripada 195 saksi. Tiada bukti ditemui untuk menyokong dakwaan seperti penglibatan cucu orang kenamaan, isteri timbalan menteri, atau penderaan dalam mesin basuh,” jelasnya.
Beliau juga memaklumkan bahawa pasukan Bukit Aman telah mengambil alih siasatan untuk memastikan ketelusan.
Mengenai isu ketidakpatuhan prosedur, Saifuddin Nasution menjelaskan bahawa semua tindakan awal polis, pihak sekolah, dan pegawai perubatan dilakukan mengikut SOP yang ditetapkan.
“Tiada pelanggaran prosedur yang menjejaskan integriti siasatan. Kami pastikan setiap langkah diambil berdasarkan maklumat terkini dan mengikut proses undang-undang,” tambahnya.
Sesi penerangan menteri itu dibahaskan oleh enam Ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang, termasuk Matbali Musah (GRS-Sipitang), Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bahru), dan Syahredzan Johan (PH-Bangi).
Dengan penjelasan ini, kerajaan berharap dapat mengurangkan spekulasi awam dan memberi keyakinan bahawa kes Zara Qairina disiasat dengan adil dan telus.
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
Facebook dan TikTok jadi sarang utama kandungan scam
Kerajaan mula kaji sistem cukai hybrid SST-GST: Fahmi
AUKU akan dimansuhkan, pentadbiran universiti diberi nafas baharu: Fahmi
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri