Oh Tong Keong kalah saman kepada Lim Guan Eng.
Timbalan Presiden Parti Gerakan, Oh Tong Keong memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi sebanyak RM550,000 Lim Guan Eng.
Peguam defendan, Chai Ko Thing memaklumkan rayuan itu difailkan pada 21 Mei lalu selepas Tong Keong kalah dalam saman fitnah kepada Guan Eng.
“Permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan juga telah difailkan pada 22 Mei sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan,” katanya dipetik laporan FMT.
Dia turut memaklumkan pengurusan kes dijadualkan berlangsung esok (26 Mei).
Pada 7 Mei, Mahkamah Tinggi Georgetown memutuskan memihak kepada Guan Eng setelah mendapati Tong Keong memfitnah bekas menteri kewangan itu dengan tuduhan palsu bahawa dia membantu seorang penganjur konsert mendapatkan pengecualian cukai.
Hakim Kenneth St James memerintahkan Tong Keong membayar RM400,000 sebagai ganti rugi am, RM100,000 sebagai kos guaman, serta faedah lima peratus setahun dari tarikh writ difailkan.
Kes itu merujuk kepada sidang media Tong Keong yang diadakan pada 25 September 2019, apabila dia mempersoalkan jika Guan Eng telah membantu syarikat WGW Entertainment Sdn Bhd dan pemiliknya, Hendrik Huang, memperoleh pengecualian cukai bagi konsert Mandopop “Fantastic Duo” yang dijadualkan berlangsung di Spice Arena, Bayan Lepas tetapi kemudiannya dibatalkan.
Tong Keong turut dilaporkan menunjukkan gambar Lim bersama Huang serta beberapa surat rasmi daripada Kementerian Pelancongan dalam sidang media itu, sebagai cubaan mengaitkan kedua-dua individu berkenaan.
Kenyataan Tong Keong itu turut dimuatkan dalam siaran media rasmi Gerakan Pulau Pinang dan diterbitkan oleh China Press.
Mahkamah turut mengarahkan Tong Keong menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat kepada Guan Eng dalam versi cetak dan dalam talian akhbar China Press, serta dilarang daripada mengulangi kenyataan berunsur fitnah tersebut.
China Press pula diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM150,000, kos guaman RM80,000, serta faedah lima peratus setahun.
Rumah bangsa UMNO terima respons positif: Mat Maslan
Mas Ermieyati dan Ronald digantung keahlian Bersatu dua penggal
AMK persoal aktivis membisu dalam isu ketegangan kaum
UMNO tidak paksa bekas ahli untuk kembali: Tok Mat
Khaled ajak bekas ahli kembali ke UMNO, sahut seruan Zahid pemimpin ulung
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan