Tiga pelancong Malaysia didenda RM1,447 gara-gara halang trafik di Hat Yai

November 15, 2026 · Isu semasa

Tiga pelancong lelaki dari Malaysia dikenakan denda keseluruhan 12,000 baht (kira-kira RM1,447) oleh polis Thailand selepas didapati melakukan aksi pemanduan berbahaya sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas di Hat Yai, awal pagi Ahad.

Ketiga-tiga lelaki berusia antara 26 hingga 30 tahun itu turut didapati melakukan pengubahsuaian kenderaan yang tidak mematuhi peraturan undang-undang Thailand.

Timbalan Inspektor Trafik Balai Polis Hat Yai, Leftenan Polis Prut Pattanapran berkata, pihaknya mengambil tindakan selepas menerima aduan orang ramai berhubung tindakan sekumpulan pemandu yang menghalang lalu lintas di Jalan Phetkasem.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu membabitkan tiga kereta bernombor pendaftaran Malaysia berwarna biru, merah dan putih serta sebuah kereta hitam milik warga tempatan.

Kesemua kenderaan terbabit dipercayai bergerak dalam satu barisan sebelum melakukan beberapa pusingan U dan aksi pemanduan yang mengganggu pengguna jalan raya lain.

“Pemandu kereta hitam yang berada di hadapan dipercayai merakam video untuk kandungan media sosial, manakala kumpulan kenderaan itu beberapa kali melakukan pusingan U dengan bunyi ekzos yang kuat serta menghalang lalu lintas,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Prut berkata, tindakan kumpulan terbabit menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk tempatan sebelum rakaman kejadian tersebar di media sosial.

Beliau turut memaklumkan kumpulan pelancong itu dipercayai sedang menghasilkan kandungan media sosial ketika melakukan aksi berkenaan dan berkemungkinan tidak memahami sepenuhnya peraturan jalan raya di Thailand.

Bagaimanapun, kesemua mereka mengaku bersalah dan masing-masing dikenakan denda 4,000 baht (kira-kira RM482) sebelum dibebaskan pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Prut mengingatkan pelancong asing supaya memahami serta menghormati undang-undang negara itu, khususnya berkaitan peraturan jalan raya.

Beliau menegaskan tindakan melanggar peraturan bukan sahaja boleh mengundang tindakan undang-undang, malah menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Hat Yai di wilayah Songkhla merupakan antara destinasi pilihan pelancong Malaysia, terutama dari kawasan utara Semenanjung, untuk membeli-belah dan bercuti. – Bernama

Berita berkaitan
Presiden Perancis tiba di Malaysia, perkukuh hubungan dua hala
2 jam lalu· Isu semasa
Prabowo mohon maaf kepada Malaysia, Singapura susulan isu jerebu
November 15, 2026· Isu semasa
Tiada negara mampu tangani cabaran telekomunikasi sendirian: Fahmi
November 11, 2026· Isu semasa
Malaysia cadang koridor digital bantu bina semula Palestin: Fahmi
November 10, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Malaysia kekal kerusi Majlis ITU, raih 145 undi
8 jam lalu · Isu semasa
KWSP raih RM83.32 bilion hasil pelaburan dalam sembilan bulan
10 jam lalu · Isu semasa
Tipu selebriti urusan hartanah, lelaki dipenjara setahun dan dua sebatan
11 jam lalu · Isu semasa
Anwar ke Shenzhen, bakal temui Xi Jinping semasa APEC
11 jam lalu · Isu semasa
PMKS berpeluang tembusi pasaran China menerusi ACFTA 3.0: PMX
11 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Pilihan Agenda Daily | 16 November 2026
10 jam lalu
[VIDEO] Jangan pandang rendah kemampuan anak muda: Mukhlis
November 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok