Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Detik bersejarah tercipta di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini dengan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai ahli ke-11 Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Peristiwa penting ini dimeterai dengan upacara penandatanganan Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga memegang jawatan Pengerusi ASEAN bagi tahun ini, menyambut baik kemasukan ahli baharu ini dan menyatakan Malaysia dan seluruh anggota ASEAN menghargai kesungguhan serta komitmen jitu yang ditunjukkan oleh Timor-Leste.
“Bagi pihak semua rakan kepimpinan (ASEAN) saya, kami boleh meyakinkan anda, kami akan menganggap anda sebagai rakan yang benar-benar berfungsi dan berkesan. Kami memahami kesusahan, harapan dan aspirasi anda,” ujar Anwar semasa Majlis Resepsi khas hari ini.
“Marilah kita bersatu membina ASEAN ini bersama,” tambahnya lagi.
Beliau turut memuji kesanggupan Timor-Leste untuk mematuhi segala syarat keahlian yang telah ditetapkan.
“Biarpun mungkin sukar pada mulanya, tetapi anda melakukannya dengan baik,” katanya.
Penyertaan Timor-Leste ini dilihat sebagai bukti komitmen bersama negara-negara ASEAN terhadap agenda memperkukuh integrasi serantau, keamanan, dan kemakmuran.
Majlis yang dihadiri oleh Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta, dan Perdana Menterinya, Kay Rala Xanana Gusmao, itu turut diserikan dengan kehadiran pemimpin antarabangsa.
Dalam ucapan ringkasnya, Perdana Menteri Gusmao mengajak pemimpin ASEAN dan antarabangsa lain untuk berkunjung ke Timor-Leste, sekaligus menyaksikan visi pembangunan negara tersebut.
Beliau sebelum ini menegaskan penyertaan ke ASEAN bukan sekadar untuk manfaat ekonomi, tetapi bagi memastikan suara Timor-Leste didengari dan dihormati di peringkat serantau serta global.
MP Bukit Bendera gesa perkukuh undang-undang jenayah penderaan kanak-kanak
Kerangka baharu perangi berita palsu, tingkatkan celik media sedang dibangunkan
MCMC jumpa pengendali media sosial minggu depan bincang kaedah pengesahan identiti
Usahawan hartanah mengaku tidak bersalah dalam kes gaduh yang tular
Perjanjian Perdagangan Timbal Balik dengan AS boleh jejas kedaulatan ekonomi: Azmin
[VIDEO] Langkah perangi scam dan buli siber diperhebat, buru pesalah
[VIDEO] Selepas dipecat Bersatu jadi dalang SD, Wan Saiful anggap dirinya jadi mangsa