Isu bendera Jalur Gemilang.
Polis membuka siasatan susulan penjualan tudung bercorak Jalur Gemilang yang didakwa tidak lengkap di sebuah pasar raya di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu pada jam 4.49 petang Sabtu selepas video berkaitan isu berkenaan tular di media sosial.
Menurutnya, siasatan awal mendapati hanya sebahagian daripada tudung berkenaan mempunyai corak Jalur Gemilang yang tidak lengkap, dan produk itu diterima daripada pihak pembekal.
“Pasar raya berkenaan telah mengambil langkah awal dengan mengeluarkan dan mengasingkan tudung yang dikenal pasti tidak mempunyai corak sepenuhnya daripada kawasan jualan bagi mengelakkan ia dijual di pasaran,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Wan Azlan berkata, polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 berkaitan penggunaan Jalur Gemilang yang tidak mencukupi sifat.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.
Kes itu mendapat perhatian selepas video memaparkan tudung berkenaan tersebar di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai ketika negara sedang menyambut Bulan Kebangsaan.
Pihak berkuasa sebelum ini turut mengingatkan orang ramai supaya menghormati Jalur Gemilang serta memastikan penggunaannya mematuhi ketetapan dan bentuk yang ditetapkan.
Wan Azlan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan memberi ruang kepada polis melengkapkan siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 dan segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.
Penipuan dalam talian: Selangor catat kerugian tertinggi
Kewangan Islam dijangka kuasai lebih 50 peratus aset negara: Gabenor
RM15 juta dana kreatif dibuka 16 November: Fahmi
Anugerah Seri Angkasa iktiraf sumbangan warga penyiaran: Fahmi
JPN sudah keluarkan 275,785 MyKad baharu, Johor rekod tertinggi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum