
Presiden UMNO, Zahid memberi amaran kepada dua Ahli Parlimen mereka supaya tidak bertanding atas tiket GRS.
UMNO tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya dua Ahli Parlimennya yang sedang digantung memilih untuk bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkanakan meneliti isu tersebut dari sudut perundangan dan politik sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat terhadap kedua-dua MP jika berdegil untuk meneruskan hasrat bertanding dengan menggunakan tiket GRS.
“Mereka sekarang ini memang digantung dan menurut laporan, mereka akan bertanding atas tiket payung yang lain.
“Jadi, kita akan lihat dari segi aspek perundangan dan juga dari segi aspek politik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Karnival Mooda @ Desa X PNG: Penanak Culture Sabah di Pantai Odec, Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini.
Beliau mengulas mengenai kemungkinan BN kehilangan dua kerusi Parlimen ekoran tindakan kedua-dua ahli itu, dan sama ada Akta Anti Lompat Parti akan digunakan.
Ketika ini, dua penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat) dan Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu), yang juga merupakan Ahli Parlimen Putatan dan Kalabakan, telah digantung keahlian dalam UMNO.
Disebabkan penggantungan itu, mereka tidak mungkin dapat dicalonkan sebagai calon BN.
Malah, UMNO Sabah sebelum ini telah menegaskan mereka tidak akan dicalonkan semula memandangkan kekal menyokong kerajaan GRS pimpinan Hajiji Noor.
Situasi ini meletakkan masa depan politik kedua-dua ahli politik itu dalam keadaan tidak menentu, sementara UMNO bersedia untuk melindungi kepentingannya dari segi undang-undang.