Kes bunuh.
Tempoh reman terhadap dua remaja lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang penuntut kolej perempuan dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh, disambung selama tujuh hari lagi bermula hari ini.
Perintah sambungan reman sehingga Khamis depan itu dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas tempoh reman pertama selama tujuh hari tamat hari ini.
Kedua-dua suspek berusia 19 tahun tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.50 pagi dengan memakai pakaian lokap, bergari dan dikawal ketat anggota polis.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Menurut sumber polis, siasatan masih diteruskan termasuk mengenal pasti motif kejadian dan penglibatan individu lain dalam kes berprofil tinggi itu.
“Polis masih menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk melengkapkan laporan forensik dan rakaman percakapan beberapa saksi,” katanya.
Pada 1 Mei lalu, mayat mangsa yang merupakan seorang penuntut kolej ditemukan di tepi jalan berhampiran kawasan sawah di Kampung Simah.
Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami 61 kesan tikaman dan dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan tersebut.
Kes berkenaan mengejutkan penduduk setempat susulan tahap kecederaan serius yang dialami mangsa selain usia suspek yang masih muda.
Susulan penemuan mayat itu, polis menahan empat individu berusia antara 19 hingga 66 tahun bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, dua warga emas termasuk seorang wanita telah dibebaskan selepas tamat tempoh reman tiga hari kerana didapati tidak mempunyai kaitan lanjut dengan kes berkenaan.
Fahmi menghadap Sultan Selangor sembah isu akaun palsu kerabat diraja
Jalan Bukit Bintang ditutup malam ini untuk program Quranic Madani
ASEAN perlu bersedia hadapi krisis makanan: Anwar
Pemandu mabuk didakwa di Mahkamah Ayer Keroh, ibu muda maut dirempuh
Ekonomi negara kekal kukuh meskipun konflik Asia Barat memuncak: Gabenor
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan