Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Kerajaan memberi jaminan bekalan minyak dan diesel negara kini berada dalam keadaan lebih stabil hasil langkah proaktif yang dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu, termasuk penyelarasan operasi di bawah Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil beberapa pendekatan bagi memastikan bekalan bahan api negara terus mencukupi, termasuk membawa masuk bekalan import apabila perlu.
“Kita mengambil langkah lebih proaktif, khususnya di bawah PETRONAS. Kita sudah memastikan bekalan minyak dan diesel dapat diagihkan dengan lebih seimbang.
“Ini juga disebabkan beberapa langkah asas yang kita ambil, termasuk mengurangkan penggunaan RON95 serta memperkukuh kawalan bagi menangani ketirisan diesel,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu.
Menurut beliau, penggunaan diesel ketika ini turut menurun berikutan tindakan kerajaan membanteras kebocoran dan penyelewengan subsidi bahan api yang sebelum ini memberi tekanan kepada bekalan domestik.
Katanya, keadaan bekalan kini jauh lebih terkawal berbanding dua bulan lalu yang menyaksikan kebimbangan terhadap kemampuan stok minyak negara untuk bertahan sehingga Jun.
“Kita juga mengambil langkah untuk mengimport bekalan dan oleh itu dari segi bekalan, keadaannya tidak lagi setegang seperti dua bulan lalu,” katanya.
Sebelum ini, isu keselamatan tenaga menjadi perhatian susulan ketidaktentuan harga minyak dunia akibat konflik geopolitik di Asia Barat yang turut memberi kesan kepada kos pengangkutan, makanan dan baja.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata negara ASEAN kini memperkukuh kerjasama serantau bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga, termasuk memberi keutamaan kepada negara jiran yang memerlukan bantuan bekalan.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat selain memastikan keselamatan tenaga rantau ini terus terjamin dalam suasana ekonomi global yang mencabar.
Fahmi menghadap Sultan Selangor sembah isu akaun palsu kerabat diraja
Pemandu mabuk didakwa di Mahkamah Ayer Keroh, ibu muda maut dirempuh
Kes 61 tikaman Kelantan: Reman dua remaja dilanjutkan
Ekonomi negara kekal kukuh meskipun konflik Asia Barat memuncak: Gabenor
Ringgit dibuka kukuh, disokong keputusan kekalkan OPR
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan