Rafizi Ramli.
Rafizi Ramli hari ini hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyambung rakaman keterangan berhubung siasatan projek pelaburan RM1.1 bilion antara kerajaan dan syarikat semikonduktor berpangkalan di England, Arm Holdings.
Ahli Parlimen Pandan itu tiba kira-kira jam 9.50 pagi bersama barisan peguamnya dan memaklumkan beliau akan menyerahkan dokumen tambahan setebal 28 halaman kepada pegawai penyiasat.
Menurut beliau, dokumen berkenaan mengandungi pelbagai laporan media, kenyataan rasmi dan ucapan pemimpin kerajaan yang berkaitan dengan kerjasama tersebut sejak ia mula diumumkan.
“Kerjasama dengan ARM ini bukannya dibuat secara senyap. Ia diumum dan dipromosikan secara terbuka oleh pimpinan kerajaan sendiri,” katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata, semua dokumen itu dikumpulkan bagi memberi gambaran menyeluruh mengenai proses keputusan dan pelaksanaan projek berkenaan.
Rafizi turut menjangkakan sesi rakaman percakapan kali ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga jam memandangkan setiap dokumen perlu diperincikan kepada pegawai penyiasat.
Setakat ini, beliau sudah memberi sebanyak 131 muka surat keterangan dan jumlah itu dijangka terus bertambah selepas penyerahan bukti baharu hari ini.
Sebelum ini, SPRM mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang melibatkan dakwaan penyalahgunaan kuasa berkaitan projek berkenaan.
Siasatan dibuka selepas beberapa pertubuhan bukan kerajaan membuat aduan bahawa perjanjian itu didakwa dibuat secara tergesa-gesa dan boleh memberi implikasi kewangan kepada kerajaan.
Terdahulu, pembantu Rafizi, Chai Jin Shern atau James Chai, turut dipanggil memberi keterangan selama tiga hari berturut-turut. Difahamkan, seramai 22 individu termasuk menteri dan pegawai kanan kerajaan sudah dirakam percakapan sejak siasatan bermula pada Februari tahun lalu.
Lebih 10 wakil rakyat pembangkang berminat sertai ‘Rumah Bangsa’ UMNO
Keputusan kes Zahid ditangguh Jun ini
Bekas pemimpin Bersatu dipelawa sertai semula UMNO: Wan Rosdy
Najib dapat tangguh bayar ganti rugi SRC
Mahfuz persoal keikhlasan permohonan maaf Nik Zawawi
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil