Jho Low.
Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya menyatakan bantahan rasmi kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung laporan permohonan pengampunan yang dikemukakan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
Penasihat DAP itu berkata kerajaan Malaysia tidak boleh berdiam diri sekiranya pengampunan itu dipertimbangkan kerana ia melibatkan individu yang didakwa menjadi dalang utama skandal 1MDB.
“Sejak skandal 1MDB terbongkar, Anwar bersama pimpinan Pakatan Harapan menuntut tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dan pemulangan penuh wang yang dicuri. Kini apabila beliau menjadi perdana menteri, beliau tidak boleh mengabaikan ikrar tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Guan Eng berkata Anwar perlu segera menulis surat kepada Trump bagi menyatakan bantahan tegas Malaysia terhadap sebarang usaha memberi pengampunan kepada Jho Low.
Beliau menegaskan pengampunan terhadap ahli kewangan itu akan memberi kesan besar kepada usaha menegakkan kedaulatan undang-undang serta perjuangan global membanteras rasuah.
“Pemberian pengampunan selepas berjaya mengelak daripada ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia dan AS adalah tidak boleh diterima,” katanya lagi.
Skandal 1MDB sebelum ini mencetuskan perhatian dunia apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion diseleweng daripada dana pelaburan strategik negara itu.
Jho Low didakwa memainkan peranan utama dalam skim tersebut bersama beberapa pegawai bank antarabangsa.
DOJ turut mendakwa kira-kira AS$1 bilion sogokan dibayar kepada pelbagai pihak, manakala Jho Low didakwa menyeleweng sekurang-kurangnya AS$1.42 bilion dan membayar hampir AS$2 bilion rasuah kepada pegawai asing termasuk bekas perdana menteri, Najib Razak.
Jho Low didakwa di Amerika Syarikat pada 2018 namun sehingga kini masih bebas dan dipercayai bersembunyi di China.
Laporan The Wall Street Journal pada 13 Mei lalu menyebut Jho Low memohon “pengampunan selepas hukuman tamat” daripada Trump, namun status permohonan itu masih belum diputuskan.
Tahun lalu, Jho Low turut mencapai penyelesaian dengan DOJ melibatkan pemulangan AS$100 juta berkaitan saman pelucutan hak sivil, tetapi beliau masih dikehendaki atas beberapa pertuduhan jenayah termasuk konspirasi menggelapkan dana 1MDB.
Muhyiddin persoal pengiktirafan UEC bagi kemasukan ke IPTA
SPM perlu kekal syarat utama masuk IPTA: Akmal
Rafizi pilih haluan baharu, Saifuddin Nasution ucap “selamat maju jaya”
Nik Zawawi beri keterangan kepada polis berhubung isu hina sahabat Nabi
Azmin terajui jentera pilihan raya Bersatu
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil