Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak sepatutnya dijadikan polemik politik kerana ia tidak menjejaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kata Anthony Loke.
Menurut Timbalan Presiden Pakatan Harapan itu, kebimbangan sesetengah pihak bahawa pengiktirafan UEC akan melemahkan Bahasa Melayu adalah tidak berasas memandangkan majoriti pelajar UEC turut menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Jangan bimbang, Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan kita sampai bila-bila. Apa yang penting sekarang ialah anak-anak Malaysia menguasai pelbagai bahasa untuk bersaing di peringkat global,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Persada Johor International Convention Centre hari ini.
Loke berkata, data dalam tempoh lima tahun lalu menunjukkan lebih 80 peratus pelajar UEC mengambil peperiksaan SPM.
Tahun lalu sahaja, katanya, seramai 9,580 daripada 10,944 calon UEC menduduki SPM termasuk memenuhi syarat lulus Sejarah dan kredit Bahasa Melayu.
“UEC bukan mahu menggantikan SPM seperti didakwa sesetengah pihak. Pelajar UEC tetap perlu ambil SPM dan memenuhi syarat asas pendidikan negara,” katanya.
Isu pengiktirafan UEC sering menjadi perdebatan politik sejak bertahun-tahun lalu, khususnya melibatkan sistem pendidikan vernakular dan kedudukan Bahasa Melayu.
Bagaimanapun, beberapa gabungan politik sebelum ini pernah memasukkan agenda pengiktirafan UEC dalam manifesto pilihan raya masing-masing.
Loke turut mendakwa pemimpin pembangkang yang kini menentang pengiktirafan itu sebenarnya pernah menyokong cadangan sama ketika berada dalam blok politik terdahulu.
“Dulu masa mahu dapatkan sokongan masyarakat Cina, mereka juga setuju dengan pengiktirafan UEC. Sekarang bila kerajaan mahu laksanakan, mereka kata kerajaan jual Melayu dan ini agenda DAP,” katanya.
Beliau pada masa sama memuji keberanian Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dalam menangani isu berkenaan yang menurutnya gagal diselesaikan kerajaan terdahulu.
Loke menegaskan pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan kerana fokus utama negara ialah melahirkan generasi muda yang menguasai pelbagai bahasa dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Hina sahabat Nabi: Amanah persoal kenapa PAS tak pecat Zawawi
PKR Shah Alam dakwa hanya tiga AJK keluar parti, masih utuh
PAS pertimbang putuskan hubungan dengan Bersatu: Laporan
21 pemimpin cabang PKR Shah Alam umum keluar parti
BN Johor kekal pendirian tanding semua kerusi PRN: Onn Gafiz
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi