Tony Pua.
Polis hari ini mengambil keterangan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, susulan kenyataannya berhubung isu titah diraja dan Rukun Negara yang mencetuskan kontroversi sejak beberapa hari lalu.
Rakaman percakapan itu dijalankan oleh pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bermula jam 4 petang.
Pengarah JSJ Bukit Aman, M Kumar berkata pihak polis sudah menerima 77 laporan terhadap Pua berhubung kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
“Proses rakaman percakapan masih berjalan dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata, polis turut akan memanggil beberapa pihak berkaitan dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.
Isu itu tercetus selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas EXCO Selangor, Ronnie Liu, supaya mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor.
Baginda bertitah langkah itu penting bagi memahami semangat sebenar Rukun Negara serta menghormati institusi raja dan nilai kesopanan dalam kehidupan bermasyarakat.
Susulan titah tersebut, Pua menerusi satu hantaran di Facebook dilaporkan menyatakan Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, di mana kuasa raja tertakluk kepada peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut mendakwa negara ini tidak mengamalkan sistem yang membolehkan raja menggubal atau menentukan semua aspek kehidupan rakyat melalui titah diraja.
Kenyataan itu kemudian mengundang pelbagai reaksi termasuk kritikan daripada beberapa pihak yang menganggap ia menyentuh sensitiviti institusi diraja dan prinsip Rukun Negara.
Polis kini sedang meneliti keseluruhan kandungan hantaran berkenaan bagi menentukan sama ada wujud unsur yang melanggar undang-undang.
Krisis takhta NS, Syahredzan nasihat jangan cabar institusi Raja sesuka hati
Ab Rauf titip tiga pesan sebelum DUN Melaka dibubar
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
Ahli PAS digesa utamakan dana kompleks parti, bukan tabung Najib: Iskandar
Tahanan rumah Najib: Mahfuz persoal asas undang-undang pengampunan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum