PKR.
Seramai 21 Ahli Jawatankuasa (AJK) PKR Cabang Shah Alam bersama beberapa pimpinan Wanita cabang itu mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kumpulan itu memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai isu dalaman yang didakwa semakin bercanggah dengan prinsip reformasi yang selama ini diperjuangkan PKR.
Mereka mendakwa kepimpinan parti gagal mempertahankan nilai ketelusan, akauntabiliti dan demokrasi dalaman, sekali gus menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan ahli di peringkat cabang.
“Kami telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti susulan janji-janji reformasi yang dilihat tidak lagi diterjemahkan dalam amalan sebenar,” menurut kenyataan itu.
Kumpulan berkenaan turut mendakwa Ketua Cabang Shah Alam, Mohd Najwan Halimi gagal mengamalkan budaya konsultasi dan kebersamaan dalam membuat keputusan penting melibatkan organisasi cabang.
Menurut mereka, AJK yang dipilih secara demokrasi dalam pemilihan parti baru-baru ini tidak dirujuk atau dilibatkan dalam beberapa keputusan termasuk pelantikan politik dan urusan pentadbiran cabang.
“Malah keputusan dibuat tanpa sebarang perbincangan rasmi bersama AJK yang dipilih walaupun perkara itu jelas diperuntukkan dalam perlembagaan parti,” katanya.
PKR yang diasaskan pada 1998 dikenali sebagai parti berteraskan agenda reformasi dan perjuangan menentang salah guna kuasa.
Namun sejak membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum ke-15, parti itu beberapa kali berdepan kritikan daripada ahli sendiri berhubung isu pelantikan politik dan pengurusan dalaman.
Walaupun meninggalkan parti, kumpulan terbabit menegaskan mereka tetap komited memperjuangkan prinsip tadbir urus baik, keadilan dan kepentingan rakyat.
“Perjuangan kami tidak terhenti di sini dan kami akan terus menyumbang ke arah masa depan Malaysia yang lebih baik dalam apa jua kapasiti,” menurut kenyataan itu.
Hina sahabat Nabi: Amanah persoal kenapa PAS tak pecat Zawawi
PAS pertimbang putuskan hubungan dengan Bersatu: Laporan
BN Johor kekal pendirian tanding semua kerusi PRN: Onn Gafiz
Bersatu jawab kritikan PAS, tegaskan semua isu patut dibincang dalam gabungan
DAP sokong cadangan bubar DUN Negeri Sembilan
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi