Bekalan minyak negara stabil hingga Julai: Akmal Nasrullah

May 25, 2026 · Isu semasa

Kerajaan memberi jaminan bekalan minyak negara kekal mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Julai ini walaupun pasaran tenaga dunia terus berdepan ketidaktentuan akibat konflik geopolitik dan kenaikan harga minyak mentah global.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jaminan itu disampaikan oleh Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam taklimat berkaitan krisis bekalan global hari ini.

“Petronas telah memberi jaminan bahawa stok bekalan minyak negara adalah mencukupi sehingga Julai ini,” katanya.

Beliau berkata, purata harga minyak mentah Brent bagi tempoh 18 hingga 22 Mei meningkat kepada AS$111.67 setong berbanding AS$109.85 pada minggu sebelumnya, sekali gus menunjukkan tekanan berterusan dalam pasaran tenaga dunia.

Menurutnya, harga minyak yang kekal melebihi AS$100 setong memberi kesan langsung kepada peningkatan kos pengangkutan dan harga barangan di pasaran.

“Pasaran tenaga global masih tidak menentu susulan risiko geopolitik yang berterusan,” katanya.

Situasi itu berlaku ketika dunia masih bergelut dengan gangguan rantaian bekalan dan ketegangan di beberapa wilayah pengeluar tenaga utama yang menjejaskan kestabilan harga minyak serta gas asli.

Dalam perkembangan sama, Akmal Nasrullah berkata purata harga Gas Asli Cecair (LNG) mengikut penanda aras Japan Korea Marker (JKM) meningkat 6.7 peratus daripada AS$17.86 kepada AS$19.06 MMBtu akibat peningkatan permintaan serantau dan kebimbangan terhadap bekalan.

Harga arang batu pula naik sedikit sebanyak 0.7 peratus kepada AS$132.29 bagi satu metrik tan.

“Pasaran kekal stabil, tetapi kita tetap berwaspada kerana ia adalah nadi penjanaan elektrik negara,” katanya.

Di sebalik tekanan kos global, aktiviti perdagangan maritim negara masih menunjukkan prestasi positif apabila pengendalian kargo harian meningkat 8.3 peratus kepada 848,900 freight weight tonnes (FWT), manakala jumlah kontena naik kepada 93,100 TEUs setakat April lalu.

Beliau berkata, rantaian bekalan negara masih berjalan lancar walaupun kos penghantaran dan premium insurans global terus meningkat.

Bagaimanapun, sektor penerbangan dilihat menerima kesan lebih ketara apabila pergerakan pesawat harian pada April menurun 31.5 peratus kepada 2,464 penerbangan susulan pembatalan beberapa laluan ke Asia Barat.

Pengendalian kargo udara antarabangsa turut mencatat penurunan 14.3 peratus kepada 1,784 kilogram, manakala kargo udara domestik susut 18 peratus kepada 420 kilogram akibat kenaikan kos bahan api dan pelarasan operasi syarikat penerbangan.

Sementara itu, permintaan maksimum elektrik bagi tempoh 18 hingga 23 Mei meningkat 3.62 peratus kepada 21,319 megawatt (MW), namun masih berada di bawah kapasiti maksimum sistem nasional iaitu 21,469 MW.

“Tiada peningkatan mendadak dalam permintaan elektrik dan kapasiti rizab sedia ada masih mencukupi untuk menampung keperluan semasa,” katanya.

Berita berkaitan
Kerajaan sanggup tanggung subsidi minyak demi rakyat: PMX
October 24, 2026· Isu semasa
Isu mafia korporat: NGO persoal motif serangan Rafizi
October 22, 2026· Politik
KPDN tunggu analisis 27 sampel petrol disyaki bercampur air
October 18, 2026· Isu semasa
Kerajaan sasar 500,000 pekerjaan baharu menerusi teknologi AI: Menteri Ekonomi
October 14, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
2 jam lalu · Isu semasa
Industri kreatif sumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara
2 jam lalu · Isu semasa
Pengurangan duti hiburan bukan galak hedonisme, jana ekonomi kreatif: Fahmi
2 jam lalu · Isu semasa
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
4 jam lalu · Isu semasa
Shuhaily kembali ke PDRM, jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong: Saifuddin Nasution
5 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok