Muhammad Sanusi Md Nor.
Kemelut politik yang melanda kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perlis terus memanas apabila Muhammad Sanusi Md Nor berkata usaha menjatuhkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, tidak semestinya perlu menunggu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis bulan depan.
Menurut Menteri Besar Kedah itu, tindakan mengemukakan usul undi tidak percaya boleh dilakukan lebih awal melalui pengumpulan akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar.
“Itu pilihan dia, tetapi sebenarnya bukan tunggu sidang DUN untuk buat undi tidak percaya.
“Di luar dewan juga boleh buat perkara itu. Himpun dan hantar SD sebelum sidang DUN boleh dibuat, tak perlu tunggu sidang DUN,” katanya dipetik semasa sidang media di Seri Mentaloon hari ini.
Sidang DUN Perlis dijadual berlangsung dari 3 hingga 5 Jun depan dan dijangka menjadi tumpuan susulan pergolakan dalaman melibatkan wakil rakyat PN di negeri itu.
Sebelum ini, Abu Bakar dilaporkan bersedia membubarkan DUN Perlis sekiranya enam ADUN Pas mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang berkenaan.
Beliau berkata, langkah itu mungkin perlu diambil sekiranya sokongan terhadap kerajaan negeri tidak lagi dapat dipertahankan.
Krisis politik di Perlis mula menjadi perhatian selepas timbul dakwaan berlaku ketegangan dalam kalangan pemimpin PN negeri, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kedudukan Abu Bakar sebagai Menteri Besar.
Bagaimanapun, sehingga kini belum ada pengesahan rasmi mengenai jumlah sebenar ADUN yang didakwa menarik sokongan.
Mengulas kemungkinan pembubaran DUN, Sanusi mengakui pilihan raya negeri mungkin menjadi jalan terakhir sekiranya kemelut berpanjangan gagal diselesaikan.
“Kalau tak ada jalan keluar maka kena bubar, tetapi saya pun teruk juga sebab kena pergi berkempen,” katanya berseloroh.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pihak supaya meneliti punca sebenar yang mencetuskan konflik politik berkenaan dan bukan hanya memberi perhatian kepada reaksi yang berlaku selepas itu.
“Apa yang orang balas itu adalah tindakan balas disebabkan apa yang dibuat. Reaksi orang adalah kerana aksi yang dibuat awal. Kita kena ambil pengajaran dari situ dulu,” katanya lagi.
Hina sahabat Nabi: Amanah persoal kenapa PAS tak pecat Zawawi
PKR Shah Alam dakwa hanya tiga AJK keluar parti, masih utuh
PAS pertimbang putuskan hubungan dengan Bersatu: Laporan
21 pemimpin cabang PKR Shah Alam umum keluar parti
Bersatu jawab kritikan PAS, tegaskan semua isu patut dibincang dalam gabungan
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi