PAS mengesahkan keputusan untuk memutuskan hubungan dan kerjasama dengan Bersatu.
PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta selepas keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung malam ini.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata keputusan tersebut dibuat selepas parti itu memperakukan ketetapan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu yang meneliti aspek dasar, hukum dan maslahah dalam kerjasama politik berteraskan prinsip penyatuan ummah.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan turut memutuskan supaya PAS meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya yang baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“Mesyuarat memperakukan keputusan PAS meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah bagi menghadapi PRN dan PRU-16.
“Mesyuarat juga menerima hasrat tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai PAS,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, mesyuarat turut meneliti kedudukan serta hala tuju hubungan politik antara PAS dan Bersatu berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa sebelum membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama tersebut.
Pengumuman itu dilihat sebagai perkembangan besar dalam landskap politik negara menjelang beberapa pilihan raya yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat.
Kerjasama PAS dan Bersatu sebelum ini menjadi antara tunjang utama pembentukan blok pembangkang selepas kedua-dua parti bergabung dalam Perikatan Nasional (PN) sejak 2020.
Hubungan itu membolehkan kedua-dua parti bekerjasama dalam beberapa pilihan raya negeri dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Namun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, hubungan kedua-dua parti dilaporkan semakin tegang susulan perbezaan pandangan berhubung hala tuju gabungan pembangkang serta kedudukan beberapa pemimpin utama dalam kerjasama politik tersebut.
Setakat ini, Bersatu belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung keputusan PAS untuk menamatkan kerjasama politik antara kedua-dua parti.
PAS didakwa tekan Bersatu terima parti Hamzah, siap hantar surat bersyarat ‘ugutan’
Jangan tutup pintu kerjasama politik, UMNO jangan bakar jambatan: Amanah
Pemuda UMNO Johor balas sindiran Loke berhubung isu kerjasama dengan DAP
Parti Amanah persoal sikap UMNO Johor terhadap DAP
Syam Ghaz dilantik sebagai bos baharu JKOM, ganti Ismail Yusop
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi