Setiausaha Agung Parti Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.
Parti Amanah mendakwa keputusan PAS menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu bukan sesuatu yang mengejutkan, sebaliknya mencerminkan corak hubungan politik parti itu yang didakwa sukar mengekalkan kerjasama jangka panjang dengan rakan sekutunya.
Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata perpecahan antara PAS dan Bersatu sudah dijangka berlaku kerana sikap PAS yang menurutnya lebih mementingkan kepentingan sendiri berbanding semangat persefahaman dalam sesebuah gabungan politik.
“Perpecahan yang berlaku itu memang sudah dijangka kerana itulah sikap PAS dan tidak boleh berkawan dengan orang. Bila berkawan, tidak ada tolak ansur dan tamak.
“PAS juga akan kenyit mata dengan kawan lain jika melihat pihak tersebut lebih menguntungkan mereka,” katanya dalam satu kenyataan selepas program Program Ramah Mesra MADANI Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersama nelayan Perak Zon Utara di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, hari ini.
Beliau mengulas sama ada keretakan hubungan antara PAS dan Bersatu mampu memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Menurut beliau, mana-mana parti politik yang bercadang untuk bekerjasama dengan PAS perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada Bersatu.
“Siapa yang hendak berkawan dengan PAS perlu berhati-hati. Mereka telah membuktikan cara politik mereka dan setakat yang saya ingat, sudah tujuh kali PAS menjalinkan kerjasama politik dan semuanya tidak kekal,” katanya.
Muhammad Faiz turut melontarkan sindiran terhadap PAS dengan mengibaratkan parti itu seperti kambing yang mempunyai bau yang sukar diterima.
“Kadang-kadang kita tidak tahan dengan bau kambing, tetapi PAS ini kambing pun tidak tahan dengan bau dia,” katanya.
Sebelum ini, PAS mengumumkan keputusan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu selepas membuat penilaian menyeluruh terhadap kedudukan serta hala tuju hubungan antara kedua-dua parti tersebut.
Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang dipengerusikan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
BN yakin agihan kerusi PRN Johor, Negeri Sembilan tiada pertindihan
DAPSY pertahan dakwaan Mohamad Hasan terlibat krisis politik Negeri Sembilan
AMK bidas Akmal cuba ugut PMX, nasihat jangan jadi parasit
SPR bermesyuarat Jumaat, dijangka umum tarikh PRN Johor dan Negeri Sembilan
Bersatu tetap teguh walau ditinggalkan PAS: Azmin
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi