Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul.
Kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa secara rasmi dikosongkan selepas Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengemukakan surat pelepasan keahlian sebagai Ahli Dewan Rakyat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul.
Perkara itu diumumkan Johari ketika membuka Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 hari ini.
Menurut beliau, surat pelepasan keahlian daripada kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan diterima pada 18 Mei lalu sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dimaklumkan mengenai kekosongan tersebut mengikut peruntukan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Yang Berhormat bagi Kawasan Pandan dan Setiawangsa telah menghantar surat untuk melepaskan keahlian sebagai Ahli Dewan Rakyat kepada saya pada 18 Mei 2026.
“Saya telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai kekosongan kedua-dua kerusi Ahli Parlimen berkenaan selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan sekiranya berlaku kekosongan luar jangka bagi sesuatu kerusi Dewan Rakyat, kekosongan itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari selepas SPR menerima notis rasmi mengenainya, tertakluk kepada syarat dan pengecualian yang ditetapkan oleh undang-undang.
Pengumuman tersebut membuka laluan kepada SPR untuk meneliti status kekosongan berkenaan dan menentukan tindakan lanjut, termasuk sama ada pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan serta menetapkan tarikh-tarikh penting sekiranya syarat perundangan dipenuhi.
Kekosongan serentak dua kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan itu dijangka menjadi perhatian pelbagai pihak memandangkan kedua-dua kawasan merupakan antara kerusi bandar utama dengan jumlah pengundi yang besar serta mempunyai pengaruh signifikan dalam landskap politik negara.
Rafizi dan Nik Nazmi sebelum ini mengumumkan keputusan meninggalkan PKR dan menyertai Parti Bersama, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai kedudukan kerusi yang mereka wakili.
Kedua-duanya turut memaklumkan hasrat untuk mengosongkan kerusi masing-masing bagi memberi ruang kepada proses demokrasi ditentukan oleh pengundi.
Keputusan rayuan Guan Eng, isteri dan ahli perniagaan diketahui hari ini
Tiada arahan sekat Onn Hafiz masuk ke FELDA: Zahid
Kerajaan pusat dan negeri sepakat tangani cabaran ekonomi: Anwar
Bersatu persoal keabsahan Mesyuarat Tertinggi PN, langgar kehendak RoS
Kecoh kenyataan awal dipadam, pengguna FB kantoikan tangkap layar akaun Samsuri
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar