Rundingan PAS-UMNO di Johor gagal capai kesepakatan.
Rundingan sulit antara UMNO dan PAS bagi meneroka kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilaporkan berakhir tanpa sebarang kata sepakat selepas kedua-dua parti gagal mencapai persetujuan berhubung agihan kerusi, penggunaan logo pilihan raya dan beberapa syarat lain yang dikemukakan dalam perbincangan.
Menurut sumber yang mengetahui perjalanan rundingan itu, pertemuan membabitkan beberapa pemimpin kanan kedua-dua parti diadakan dalam usaha mengelakkan pertembungan sesama sendiri pada PRN Johor, namun perbincangan berakhir menemui jalan buntu.
Sumber mendakwa antara perkara utama yang menjadi penghalang ialah syarat ditetapkan UMNO supaya mana-mana calon PAS yang bertanding menerusi kerjasama tersebut perlu menggunakan logo Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, kepimpinan PAS dikatakan tidak bersetuju dengan syarat berkenaan kerana berpendirian parti itu mahu mengekalkan identiti sendiri sekiranya kerjasama dimeterai.
“UMNO bertegas bahawa jika PAS mahu bekerjasama, calon mereka perlu menggunakan logo dacing BN. PAS pula tidak bersetuju dengan syarat itu, menyebabkan rundingan gagal mencapai persetujuan,” kata sumber.
Menurut sumber sama, selain isu penggunaan logo dan pembahagian kerusi, PAS turut mengemukakan beberapa tuntutan lain sebagai sebahagian daripada cadangan kerjasama.
Antaranya, PAS didakwa meminta diberikan kuota pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan sekiranya kerjasama itu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor.
“Perkara itu turut dibincangkan, namun tidak dipersetujui,” menurut sumber.
Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri Johor sebelum ini meluluskan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri yang membolehkan pelantikan ADUN lantikan, sekali gus membuka ruang kepada mekanisme itu digunakan selepas pilihan raya.
Sumber turut mendakwa suasana pertemuan menjadi semakin tegang apabila kedua-dua pihak gagal mencari titik persamaan mengenai syarat kerjasama.
Malah, difahamkan seorang pemimpin kanan PAS melontarkan kenyataan keras kepada wakil UMNO ketika rundingan berlangsung.
“Ingat UMNO ini boleh berkuasa sampai kiamat?”
Menurut sumber, kenyataan itu menjadi kemuncak kepada ketegangan dalam mesyuarat tersebut sebelum rundingan berakhir tanpa sebarang persetujuan.
Kegagalan rundingan itu, jika benar, dijangka menutup ruang kepada pembentukan kerjasama rasmi antara UMNO dan PAS bagi menghadapi PRN Johor, sekali gus meningkatkan kemungkinan berlakunya pertandingan pelbagai penjuru di beberapa kerusi.
Hubungan UMNO dan PAS sebelum ini pernah diperkukuhkan menerusi Muafakat Nasional yang dimeterai pada 2019, namun kerjasama tersebut semakin longgar susulan perubahan landskap politik negara selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Setakat ini, kedua-dua parti belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan kegagalan rundingan berkenaan mahupun kandungan perbincangan yang didakwa berlaku dalam pertemuan tertutup itu.
Agenda Daily sedang mendapatkan maklum balas daripada kepimpinan UMNO dan PAS bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut.
Perangi rasuah bukan mudah, berdepan tentangan pelbagai pihak: PMX
PRN Johor: Bekas ADUN Bersatu calon BN di Endau, Onn Hafiz kekal di Machap
Mat Sabu hanya suarakan pandangan, bukan sindir sesiapa: Anwar
Pemuda MCA bidas DAPSY, dakwa tidak faham struktur pentadbiran FELDA
Bersatu nafi bantah kemasukan Pejuang ke PN, bantah kemasukan PCM: Hilman
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar