Penyelarasan harga subsidi RON95.
Kurang daripada satu peratus daripada kira-kira 14 juta pengguna yang berdaftar di bawah sistem BUDI MADANI RON95 (BUDI95) menggunakan petrol melebihi kuota 200 liter sebulan, sekali gus menunjukkan had yang ditetapkan kerajaan mencukupi bagi majoriti rakyat.
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata, dapatan itu diperoleh menerusi pemantauan harian yang dijalankan menggunakan data nombor kad pengenalan pengguna yang direkodkan dalam sistem BUDI95.
“Siapa mahu menggunakan BUDI95 dia kena letak kad pengenalan dalam sistem. Setiap hari ada tiga juta transaksi. Kita teliti dalam pangkalan data yang kita ada, jadi kita boleh nampak, analisis dan pastikan penggunaan sebenar.
“Sejak pelaksanaan BUDI95 bermula pada Oktober 2025 sehingga bulan lalu, kita melihat pelaksanaannya berjalan lancar di seluruh negara,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Awang Hashim (PN-Pendang) pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut menjelaskan, berdasarkan data penggunaan diesel yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), lebih 80 peratus pengguna mencatat penggunaan di bawah 200 liter sebulan dengan purata sekitar 140 liter.
Menurutnya, kerajaan mengambil kira keperluan pemilik kenderaan diesel seperti jip dan pikap yang digunakan sebagai pengangkutan utama barangan oleh peniaga kecil serta penduduk di kawasan pedalaman.
“Kerana itu kerajaan menyediakan kelayakan tambahan BUDI MADANI Diesel sebanyak 100 liter yang boleh dipohon oleh mereka yang layak.
“Berdasarkan data DOSM juga, 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan. Ini bermakna kuota 300 liter sebulan adalah mencukupi untuk sebahagian besar rakyat,” katanya.
Amir Hamzah berkata, penggunaan MyKad dalam penyaluran subsidi bahan api berjaya menutup ruang ketirisan yang selama ini menyebabkan pembaziran wang subsidi kerajaan dan bekalan bahan api.
“Kita mahu memastikan bekalan diesel kekal berada dalam pasaran negara, terutama ketika berdepan ketidaktentuan global. Pada masa sama, kita mahu rakyat terus menikmati diesel pada harga bersubsidi.
“Pembaharuan ini mampu menutup ketirisan, menjamin bekalan ketika krisis dan memastikan hanya rakyat Malaysia menikmati keistimewaan subsidi,” katanya.
Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kuota tambahan 100 liter diesel bersubsidi kepada pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak menerusi mekanisme BUDI MADANI, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan pada harga RM2.10 seliter.
Dasar itu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini dan diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pengguna kenderaan diesel yang layak, di samping memastikan pelaksanaan subsidi bersasar lebih berkesan serta mengurangkan ketirisan dalam sistem bantuan bahan api negara.
Malaysia terus kukuh antara negara paling aman dunia
IPTA terima kemasukan pelajar berdasarkan merit, tiada pintu belakang: Adam Adli
Parlimen bebas bahas, undi calon pendakwa raya: Azalina
Ahli NGO didakwa cuci wang hampir RM18 juta, beli banglo dan kenderaan mewah
Kos sara hidup lebih terkawal, inflasi turun empat tahun berturut-turut: Armizan
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar