Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Seramai 226 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tempoh empat tahun bermula 2021, menurut statistik yang dibentangkan kerajaan di Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata jumlah itu direkodkan berdasarkan keputusan kes tatatertib yang diambil terhadap warga SPRM, dengan pecahan 40 kes pada 2021, meningkat kepada 68 kes pada 2022, diikuti 51 kes pada 2023 dan 67 kes sehingga September 2024.
Beliau berkata, dalam tempoh 2021 hingga Jun tahun ini pula, sebanyak 21 kertas siasatan rasuah dibuka terhadap pegawai SPRM.
“Data yang direkodkan adalah keputusan kes tatatertib yang diambil membabitkan warga SPRM dan agensi ini juga mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa dan pelanggaran integriti.
“Setiap aduan atau maklumat yang diterima akan dinilai dan diuruskan mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan sekiranya terdapat asas dan pembuktian yang mencukupi, tindakan tatatertib atau perundangan akan diambil tanpa mengira pangkat atau jawatan pegawai yang terbabit,” katanya menjawab pertanyaan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang meminta kerajaan menerbitkan statistik integriti warga SPRM secara tahunan sebagai petunjuk akauntabiliti institusi.
Sebagai perbandingan, statistik Jabatan Perkhidmatan Awam menunjukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 14,211 kes tindakan tatatertib dalam tempoh sama, manakala Jabatan Imigresen Malaysia mencatatkan 348 kes dan Jabatan Penjara Malaysia sebanyak 312 kes.
Bagi siasatan rasuah pula, PDRM merekodkan 377 kertas siasatan, diikuti Jabatan Imigresen dengan 234 kes dan Jabatan Penjara sebanyak 20 kes.
Azalina berkata, tahap integriti warga SPRM bukan sahaja dipantau melalui mekanisme dalaman, malah turut diawasi oleh Jawatankuasa Aduan (JKA) yang ditubuhkan di bawah Seksyen 15 Akta SPRM 2009.
Menurut beliau, jawatankuasa itu berperanan memantau pengendalian aduan berkaitan salah laku pegawai SPRM yang tidak membabitkan kesalahan jenayah, dengan keanggotaannya terdiri daripada golongan profesional daripada pelbagai bidang.
Beliau menegaskan kerajaan bersama SPRM akan terus memperkukuh sistem pemantauan dalaman dan membudayakan integriti dalam kalangan warga suruhanjaya itu.
“Kerajaan MADANI dan SPRM akan terus memperkasakan mekanisme pemantauan dalaman serta memperkukuh budaya integriti bagi memastikan tahap akauntabiliti yang tinggi dapat dikekalkan dan keyakinan masyarakat terhadap SPRM sentiasa terpelihara,” katanya.
SPRM merupakan agensi utama negara yang dipertanggungjawabkan membanteras rasuah dan salah guna kuasa.
Kerajaan masih perhalusi cadangan tangani isu Rohingya
‘Kesejahteraan Dinikmati’ jadi tema sambutan Hari Kebangsaan: Fahmi
Malaysia terus kukuh antara negara paling aman dunia
IPTA terima kemasukan pelajar berdasarkan merit, tiada pintu belakang: Adam Adli
Kuota 200 liter RON95 cukup untuk hampir semua pengguna: Amir Hamzah
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar