Pelaksanaan Budi Madani Diesel (BUDI Diesel).
Pelaksanaan awal BUDI Diesel merekodkan sebanyak 336,000 transaksi pembelian diesel bersubsidi dari 27 Jun hingga 4 Julai lalu, melibatkan 12.6 juta liter bahan api dengan nilai subsidi kerajaan melebihi RM23 juta.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, transaksi itu direkodkan ketika tempoh akses awal BUDI Diesel, dengan pengguna layak membeli diesel pada harga RM2.15 seliter sebelum kadar itu diturunkan kepada RM2.10 seliter apabila pelaksanaan penuh bermula pada 1 Julai lalu.
Beliau berkata, angka berkenaan menunjukkan mekanisme subsidi bersasar itu telah digunakan oleh kumpulan yang layak, khususnya bagi memastikan bantuan kerajaan sampai kepada rakyat Malaysia yang benar-benar memerlukan.
“Subsidi bersasar adalah manfaat kerajaan untuk rakyat Malaysia yang layak. Pada masa yang sama, penyasaran subsidi penting bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi kekal terjamin dan bantuan tidak disalah guna oleh pihak yang tidak layak,” katanya.
BUDI Diesel diperkenalkan sebagai antara langkah kerajaan MADANI menyusun semula sistem subsidi bahan api supaya perbelanjaan awam dapat dikawal, selain menutup ruang ketirisan yang sebelum ini dikaitkan dengan pembelian oleh pihak tidak layak serta aktiviti penyeludupan.
Melalui sistem itu, MyKad digunakan sebagai kaedah pengesahan kewarganegaraan dan kelayakan pembeli di stesen minyak.
Mekanisme berkenaan bertujuan memastikan diesel bersubsidi hanya boleh dibeli oleh rakyat Malaysia yang memenuhi syarat ditetapkan.
Amir Hamzah berkata, pelaksanaan BUDI Diesel bukan bermaksud kerajaan menarik balik bantuan kepada rakyat, sebaliknya memastikan subsidi disalurkan secara lebih tepat berdasarkan keperluan sebenar.
Menurutnya, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan sistem itu dan mengambil kira maklum balas daripada pengguna serta pemain industri bagi memperbaiki sebarang kelemahan.
“Usaha ini penting supaya manfaat subsidi sampai kepada penerima yang layak, bekalan diesel bersubsidi kekal terjamin dan ketirisan dapat terus dikekang,” katanya.
Jangan heret istana dalam politik : Istana Negeri Sembilan
Ringgit dibuka tinggi menjelang PRN Negeri Sembilan: Bernama
MCMC perkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi Program MADANI Kita
Tiada pemimpin boleh hina mana-mana kaum, PM ingatkan Sanusi
Anwar yakin Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji
[VIDEO] Khalid Samad lekeh Bersatu macam budak-budak, banyak mana pengalaman dia dengan saya?
[VIDEO] Nasir Rahman tekad bantu peniaga dan anak muda Bagan Pinang jika dipilih