Kes scam.
Kerajaan sedang meneliti kemungkinan memperkenalkan hukuman sebat terhadap pesalah penipuan dalam talian, selain mewujudkan mekanisme lebih jelas bagi memastikan wang mangsa dapat dipulangkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata kajian itu sedang dilaksanakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bagi memperkukuh perlindungan kepada mangsa jenayah siber.
Beliau berkata, sistem perundangan sedia ada lebih memberi tumpuan kepada pendakwaan dan hukuman terhadap pelaku, sedangkan mangsa sering berdepan kesukaran mendapatkan semula wang yang hilang.
“BHEUU buat kajian lebih mendalam isu mangsa dalam jenayah siber, bukan saja dalam elemen jenayah siber, online harms dan digital offences,” katanya ketika ditemui selepas Sidang Kemuncak Keselamatan Siber 2026 di Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, kerajaan turut melihat pendekatan negara lain, termasuk Singapura yang mempunyai peruntukan hukuman sebat bagi kesalahan tertentu.
“Saya cakap tadi mengenai beberapa negara punya bidang kuasa macam Singapura membabitkan hukuman sebat kepada pesalah. Kita hanya kena denda dengan hukum penjara, jadi kajian itu yang kita akan buat,” katanya.
Azalina berkata, kajian itu juga akan meneliti model perlindungan mangsa di United Kingdom dan Australia, khususnya kaedah pengendalian kes penipuan dalam talian yang membabitkan institusi kewangan.
“Macam UK dengan Australia, apabila mangsa jenayah penipuan dalam talian, bank-bank yang terbabit akan pulangkan balik duit mangsa, manakala negara kita belum ada mekanisme berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa scam di Malaysia ketika ini lazimnya perlu membuat laporan polis dan menunggu hasil siasatan, namun proses itu tidak semestinya menjamin wang yang dipindahkan kepada sindiket dapat diperoleh semula.
“Yang banyak ada sekarang ini undang-undang kita menghukum kepada pelaku. Untuk mangsa tak ada apa kecuali dia buat laporan, lepas itu kadang-kadang duit pun tak dapat balik dan itu yang kita nak kaji semula,” katanya.
Isu penipuan dalam talian terus menjadi antara ancaman jenayah digital utama di Malaysia, dengan sindiket menggunakan pelbagai taktik termasuk penyamaran pegawai kerajaan, tawaran pelaburan palsu, pinjaman tidak wujud dan scam percintaan.
Kajian BHEUU itu dijangka memberi fokus kepada bentuk hukuman yang lebih berkesan terhadap pesalah, tanggungjawab pihak berkaitan termasuk institusi kewangan, serta saluran pampasan atau pemulangan dana yang lebih pantas kepada mangsa.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum