Syed Saddiq bebas sepenuhnya, boleh berkahwin dengan Bella

July 13, 2026 · Politik

Penantian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk membersihkan namanya akhirnya berakhir apabila Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan pendakwaan sekali gus membebaskannya sepenuhnya daripada semua sabitan dan hukuman.

Keputusan majoriti 2-1 itu menyaksikan panel hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Abu Bakar Jais bersama Che Mohd Ruzima Ghazali dan Collin Lawrence Sequerah mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan bekas Menteri Belia dan Sukan itu daripada lima pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu.

Che Mohd Ruzima dan Collin memutuskan Mahkamah Rayuan tidak melakukan sebarang kesilapan undang-undang atau prosedur ketika membenarkan rayuan Syed Saddiq pada Jun tahun lalu, sekali gus menolak rayuan pihak pendakwaan.

Dengan keputusan itu, Syed Saddiq terlepas daripada hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi sebelum ini atas dua pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan harta serta dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Sebaik Collin selesai membacakan penghakiman yang menjadi penentu selepas keputusan panel berada pada kedudukan 1-1, suasana di mahkamah bertukar emosional apabila hadirin memberikan tepukan sebagai tanda lega terhadap keputusan berkenaan.

Abu Bakar kemudian memanggil Syed Saddiq ke hadapan panel hakim dan menjelaskan keputusan majoriti menyebabkan sabitan serta hukuman yang diputuskan olehnya sebelum ini tidak lagi berkuat kuasa.

Beliau turut berharap Syed Saddiq dapat meneruskan perancangan hidupnya selepas kes berkenaan berakhir.

“Kini selepas keputusan majoriti memihak kepada responden, saya berharap beliau dapat meneruskan perancangan (perkahwinan) dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Dalam pada itu, Che Mohd Ruzima mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat spekulasi atau kenyataan tidak bertanggungjawab terhadap institusi kehakiman, terutama berhubung penangguhan keputusan kes sebelum ini.

“Sebagai hakim, kami tidak boleh menjawab segala persepsi masyarakat atau mempertahankan diri di ruang awam. Oleh itu, pihak berkepentingan perlu memainkan peranan masing-masing dengan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menjelaskan alasan penghakiman sebenarnya telah disiapkan, namun proses pembacaan tertangguh selepas salah seorang hakim mengalami masalah kesihatan.

Sejurus prosiding selesai, ahli keluarga Syed Saddiq yang berada di galeri awam dilihat saling berpelukan sambil menzahirkan rasa syukur. Syed Saddiq turut bersalaman dengan barisan peguam yang mewakilinya sebelum berdoa bersama ahli keluarga.

Kes itu bermula selepas Syed Saddiq didakwa atas lima pertuduhan membabitkan dana ARMADA Bersatu.

Pada November 2023, Mahkamah Tinggi mensabitkan beliau atas semua pertuduhan sebelum Mahkamah Rayuan pada Jun 2025 membatalkan sabitan dan membebaskannya.

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini menamatkan sepenuhnya perjalanan kes berprofil tinggi yang berlarutan selama beberapa tahun.

Berita berkaitan
Kes tender PDRM: Saksi dedah bekas pegawai Hamzah rasa kecewa berhubung bayaran RM2 juta
July 23, 2026· Isu semasa
Perbicaraan Vivy Yusof: Saksi beritahu RM8 juta masuk dipindahkan ke akaun lain
July 20, 2026· Isu semasa
Zizie Izette bebas tuduhan rasuah RM2.8 juta
July 20, 2026· Isu semasa
Pelaburan KWAP rugi RM200 juta perlu disiasat: PMX
July 20, 2026· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Fahmi: Politik sepatutnya menyatupadukan rakyat, tindakan pemimpin PAS dikritik
9 jam lalu · Politik
Selepas BN enggan kongsi manifesto, PN tampil dengan tawaran sendiri
9 jam lalu · Politik
Aminuddin dakwa manifesto BN tiru tawaran PH, salin dan tukar sahaja
9 jam lalu · Politik
BN-PN tak tergesa-gesa bentuk gabungan, UMNO berhati-hati dengan PAS
9 jam lalu · Politik
Muhyiddin jangka kerjasama BN-PN sukar bertahan
11 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
14 jam lalu
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS
19 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok