Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi bertindak mengumumkan keputusan keluar parti baru-baru ini.
Beberapa pemimpin PKR tampil membuat penjelasan berhubung isu dibangkitkan bekas timbalan presiden, Rafizi Ramli yang kononnya kena jerit dengan Presiden, Anwar Ibrahim semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu sebelum pemilihan yang diadakan pada 23 Mei.
Dalam satu hantaran di Facebook, Dr Maszlee Malik menyangkal tuduhan Rafizi dan mengatakan Anwar tidak meninggikan suara “walau seminit pun” dalam mesyuarat tersebut.
Maszlee turut berkata majoriti ahli MPP lain yang hadir dalam mesyuarat itu menjadi saksi.
“Sesiapa yang mengatakan bahawa Presiden Keadilan (PKR) menjerit memarahinya selama 20 minit pada mesyuarat tersebut, sama ada beliau menipu, ataupun beliau berhalusinasi atau penghidap Skizofrenia yang kronik,” kata bekas menteri pendidikan itu dalam hantaran yang dimuat naik lewat malam tadi.
Perkara sama disuarakan Pengerusi PKR Perlis, Noor Amin Ahmad, yang menafikan dakwaan Rafizi dalam satu kenyataan ringkas di platform X (Twitter).
“Saya pun hadir (dalam mesyuarat itu). Tak tahu pula ada gaduh besar. Tak rasa ada tinggi suara sampai dekat setengah jam,” katanya.
Terdahulu, Rafizi semasa wawancara dalam episod terbaru podcast Yang Berhenti Menteri mendakwa Anwar meninggikan suara terhadapnya susulan isu yang dibangkitkan mengenai sistem undian digital pemilihan parti itu.
“Anwar Ibrahim jerit kat aku untuk tempoh 20 minit masa tu,” kata bekas menteri ekonomi itu.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata dia menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap aspek teknikal sistem pengundian-termasuk kod sumber dan pelayan (server) – yang menurutnya boleh dimanipulasi untuk memberi kelebihan kepada calon tertentu.
Beliau turut mendakwa pembangun sistem berkenaan telah membentangkan struktur sistem undian semasa mesyuarat tersebut, dan berkata:
“Developer ni ingatkan kami semua bodoh, tak paham IT, dia lupa aku ada startup tau,” katanya.
Sebelum ini, jawatankuasa pemilihan PKR turut menafikan dakwaan Rafizi bahawa ia gagal berfungsi dengan baik dalam menguruskan pemilihan peringkat cabang.
Juruaudit bebas yang ditugaskan menilai pemilihan peringkat cabang dan ranting PKR turut melaporkan bahawa sistem e-undi berfungsi dengan baik, walaupun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.
Aziz Bari: PAS parti politik, bukan agama
Zahid beri jaminan, kemelut calon MCA akan diselesaikan
Tolak politik kebencian, perkukuh perpaduan: Anwar
PRN Melaka: Zahid mahu jentera BN terima PAS, alu-alukan kerjasama
BN umum 21 calon, Akmal dan Helmy kekal bertanding
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum