Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Muhammad Sanusi Md Nor diingatkan agar tidak memainkan isu kaum dan agama sepanjang tempoh berkempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Sebaliknya Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi berkata Menteri Besar Kedah itu perlu menumpukan kepada usaha menyatukan rakyat tanpa menyentuh perkara yang boleh mencetuskan keresahan.
Ahmad Zahid berkata jika hasrat Muhammad Sanusi adalah untuk memupuk perpaduan, isu membabitkan etnik, agama, budaya dan latar belakang masyarakat tidak perlu dijadikan bahan kempen kerana Malaysia dibina atas kepelbagaian yang perlu dihormati.
“Kalau hasrat beliau adalah untuk memperlihatkan penyatuan di kalangan umat, tak perlu pun menyentuh mengenai etnik, agama, budaya dan juga latar belakang lain-lain kaum di negara ini.
“Saya yakin kemajmukan rakyat di negara kita, latar belakang ini adalah sunatullah yang telah ditentukan. Jadi tidak perlu disentuh perkara-perkara yang begitu.
“Kalau mereka berhasrat untuk berkawan, buatlah cara mahu berkawan, bukan menyentuh perkara-perkara yang lain dan kalau boleh sehingga hari Sabtu nanti (1 Ogos), kita ada enam hari lagi, saya ingat eloklah beliau sibukkan diri beliau mentadbir negeri Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Salam Agrikomoditi MADANI di Dataran Melang, hari ini.
Beliau turut menyindir Muhammad Sanusi dengan berkata, walaupun ‘ada harimau di dalam dada’, yang lebih sesuai keluar daripada percakapannya hanyalah ‘kambing’.
Ahmad Zahid berpandangan ucapan Muhammad Sanusi mungkin sesuai untuk khalayak di Kedah, namun tidak wajar dibawa ke Negeri Sembilan kerana berpotensi mengundang pelbagai tafsiran serta menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat majmuk.
“Tak perlu datang ke Negeri Sembilan. Biarlah kita ‘manage’ Negeri Sembilan dengan cara kita sendiri,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan ucapan Muhammad Sanusi dalam ceramah BN-PN di Jempol dua hari lalu yang mendakwa kuasa politik dan penguasaan ekonomi orang Melayu semakin terhakis serta berisiko hilang dalam tempoh 10 tahun jika tiada perubahan drastik dilakukan.
Beliau turut menyatakan Malaysia ialah satu-satunya tanah perlindungan bagi orang Melayu sebagaimana negara lain mempunyai kaum asal masing-masing.
Semalam, Presiden MIC, SA Vigneswaran turut menggesa BN mempertimbangkan untuk bertanding secara solo pada pilihan raya akan datang susulan kenyataan beberapa pemimpin PAS yang didakwa kerap menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
Menurutnya, kenyataan sedemikian bukan sahaja menyukarkan sebarang bentuk kerjasama politik, malah boleh menjejaskan usaha BN meraih sokongan pengundi daripada pelbagai kaum.
Selepas BN enggan kongsi manifesto, PN tampil dengan tawaran sendiri
Aminuddin dakwa manifesto BN tiru tawaran PH, salin dan tukar sahaja
BN-PN tak tergesa-gesa bentuk gabungan, UMNO berhati-hati dengan PAS
Pemuda Amanah lapor polis kenyataan Sanusi, dakwa boleh cetus ketegangan kaum
Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS