UMNO belum membuat sebarang keputusan berhubung 14 tawaran tambahan yang dikemukakan Perikatan Nasional (PN) untuk melengkapkan manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ahmad Maslan berkata pendirian parti bergantung kepada kandungan tawaran itu terutama sama ada ia selari dengan perjuangan UMNO dan mampu dilaksanakan secara realistik.
Menurutnya, secara peribadi beliau tidak melihat masalah untuk menerima cadangan yang munasabah, namun keputusan muktamad tetap berada di tangan pucuk pimpinan parti.
“Saya belum melihat manifesto PN itu. Kalau manifesto itu selari dengan perjuangan kita, saya tidak nampak mengapa ia tidak boleh diterima.
“Bagaimanapun, kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut di Felda Ijok, hari ini.
Beliau berkata, UMNO berpegang kepada prinsip menawarkan manifesto yang praktikal dan boleh ditunaikan, bukannya sekadar menjanjikan sesuatu yang sukar direalisasikan sehingga menjejaskan keyakinan rakyat.
“Manifesto kita ialah perkara yang boleh dibuat dan praktikal. Kita tidak mahu berjanji bulan dan bintang yang akhirnya tidak dapat ditunaikan.
“Jika manifesto itu logik dan boleh dilaksanakan, pada saya secara peribadi tidak ada sebab mengapa ia tidak boleh diterima,” katanya.
Ahmad turut menjelaskan terdapat beberapa cadangan yang memerlukan penelitian lebih mendalam sekiranya ia tidak pernah menjadi sebahagian daripada komitmen UMNO sebelum ini.
“Kalau contohnya menghapuskan tol atau PTPTN, kita tidak pernah menjanjikan perkara itu. Kalau tiba-tiba perkara itu dimasukkan, sudah tentu ia menjadi sukar,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan gabungan itu mengemukakan 14 tawaran tambahan bagi melengkapkan manifesto BN meliputi enam bidang utama iaitu pentadbiran, belia dan keluarga, ekonomi, kebajikan, pendidikan serta pekerjaan.
Cadangan itu dibangkitkan ketika kempen PRN Negeri Sembilan yang menyaksikan persaingan sengit antara gabungan Kerajaan Perpaduan dan PN dengan setiap parti tampil menawarkan pelbagai inisiatif bagi menarik sokongan pengundi.
Kerjasama BN-PH bukan kontrak sampai mati
Aminuddin minta buktikan mana projek PH yang tertinggal
Calon PH DUN Ampangan tumpu penyelenggaraan infrastruktur
Fahmi: Politik kebencian dan sentimen perkauman tak selesaikan masalah rakyat
14 kertas siasatan dibuka sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik