Lima kali BNM beri amaran, masalah TH tetap tidak diendah pengurusan terdahulu

August 11, 2026 · Isu semasa

Lima kali Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan surat peringatan mengenai masalah jurang antara aset dan tanggungan Tabung Haji (TH), namun amaran itu tetap tidak diendahkan pengurusan terdahulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata surat berkenaan dihantar kepada Pengerusi TH dan Menteri Hal Ehwal Agama ketika itu sebagai peringatan supaya masalah kewangan institusi berkenaan diperbetulkan segera.

“Mereka sudah diberi amaran bukan satu kali, bukan dua kali, tetapi lima kali bahawa keadaan itu perlu diperbetulkan segera bagi memastikan TH tidak terus melanggar undang-undang,” katanya pada Sidang Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Zulkifli, kegagalan menangani amaran berkenaan berisiko memberi kesan serius kepada kedudukan dan kestabilan kewangan negara, malah berpotensi menimbulkan risiko sistemik.

“Semua mesti tahu amaran-amaran BNM itu bukannya tanpa asas. Asasnya, sekiranya ia tidak ditangani, maka ia berisiko menimbulkan kesan yang parah kepada kedudukan dan kestabilan kewangan negara,” katanya.

Beliau berkata, sukar untuk mengatakan pihak yang bertanggungjawab ketika itu tidak mengetahui masalah yang sedang berlaku di TH susulan peringatan berulang kali daripada BNM.

Dalam perkembangan berkaitan, Kabinet pada akhir bulan lalu bersetuju supaya siasatan penuh terhadap dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH dilaksanakan serta-merta oleh badan penguat kuasa.

Zulkifli berkata, susulan keputusan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memulakan siasatan, selain beberapa individu penting yang dinamakan dalam laporan RCI dipanggil dan ditahan bagi membantu siasatan.

“Tindakan tegas ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dan badan penguat kuasa. Tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak terbabit dalam salah guna kuasa mahupun pecah amanah terhadap harta dan dana suci milik jemaah haji negara,” katanya.

Beliau turut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya siasatan terhadap dapatan RCI TH dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa sebarang kompromi.

Sementara itu, Zulkifli berkata TH sudah melaksanakan lebih 75 peratus daripada syor RCI bagi memperkukuh tadbir urus dan kesejahteraan institusi itu.

Katanya, TH turut memberi komitmen untuk menyelesaikan baki syor yang masih relevan dan kini dalam pelaksanaan.

Laporan RCI TH sebelum ini meneliti kelemahan tadbir urus serta pengurusan kewangan dan pelaburan institusi itu, termasuk isu berkaitan kedudukan aset dan tanggungan yang menjadi perhatian BNM pada ketika itu.

Kerajaan kini menyerahkan kepada badan penguat kuasa untuk menjalankan siasatan berdasarkan dapatan RCI dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

Berita berkaitan
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
5 jam lalu· Isu semasa
Parlimen: Rayer diminta hantar surat rasmi rujuk Takiyuddin ke jawatankuasa
5 jam lalu· Politik
Aziz Bari: PAS parti politik, bukan agama
October 25, 2026· Politik
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
October 22, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
5 jam lalu · Isu semasa
Ekonomi Malaysia kukuh, ringgit dijangka cecah RM3.97: Hong Leong Bank
5 jam lalu · Isu semasa
Tok Mat persoal keberkesanan UNHCR urus pelarian Rohingya
5 jam lalu · Isu semasa
Tanah LTAT RM420 juta dijual kepada AS melalui tender: Khaled Nordin
5 jam lalu · Isu semasa
Pengguna Waze dedah paparan data yang disimpan, cetus persoalan privasi
October 25, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok