Mahfuz Omar.
Tabung Haji (TH) tidak boleh dijadikan alat untuk mendapatkan sokongan politik, tegas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar.
Beliau berkata dakwaan Ahli Parlimen Langkawi, Mohd Suhaimi Abdullah di Dewan Rakyat mengenai penggunaan kemudahan berkaitan TH bagi mendapatkan sokongan dalam pemilihan Ketua UMNO Bahagian Jerai perlu disiasat dan dijawab berdasarkan fakta serta rekod.
“Saya tidak membuat keputusan bersalah terhadap mana-mana individu. Tetapi apabila dakwaan sebegini dibuat dalam Dewan Rakyat, ia mesti dijawab dengan fakta, rekod dan siasatan, bukan dengan kemarahan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata dakwaan hampir keseluruhan ketua cawangan UMNO Bahagian Jerai mendapat peluang ke Makkah ketika pemilihan Ketua UMNO Bahagian Jerai berlangsung perlu diperiksa secara teliti sekiranya ia menimbulkan persepsi wujudnya ‘hutang budi’ politik.
Katanya, jika perkara itu benar, isu tersebut tidak lagi hanya berkaitan persaingan dalam pemilihan parti, sebaliknya menyentuh soal tadbir urus sebuah institusi yang mengurus wang pendeposit.
“Ibadah bukan mata wang politik. Tiket ke Tanah Suci bukan tiket menuju kuasa,” katanya.
Beliau menegaskan TH bukan milik mana-mana parti politik atau individu, sebaliknya institusi amanah yang mengurus simpanan jutaan pendeposit.
Menurutnya, sebarang campur tangan politik terhadap institusi itu boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap pengurusan dana mereka.
“Jangan gunakan tangan yang memegang amanah pendeposit untuk membeli sokongan politik,” katanya.
Mahfuz turut mengingatkan supaya isu tadbir urus TH tidak dilindungi menggunakan politik identiti dengan mendakwa sebarang persoalan terhadap institusi Melayu-Islam sebagai serangan terhadap kepentingan Melayu dan Islam.
“Melayu-Islam tidak akan jatuh kerana kita berani mendedahkan kelemahan. Sebaliknya, maruah Melayu-Islam lebih rosak apabila ada orang menggunakan nama Melayu dan Islam untuk melindungi salah urus,” katanya.
Beliau turut meminta pihak berkaitan menjelaskan siapa meluluskan kemudahan berkenaan, siapa penerimanya, kriteria pemilihan, pihak yang menanggung kos serta sama ada wujud rekod rasmi dan campur tangan politik.
“Kalau dakwaan itu fitnah, nafikan dengan rekod. Kalau benar, jangan tutup kebenaran dengan retorik politik,” katanya.
Mahfuz berkata pendedahan di Parlimen serta persoalan yang pernah dibangkitkan menerusi laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH perlu dilihat sebagai ruang untuk memperkukuh tadbir urus institusi berkenaan.
Katanya, isu tersebut tidak wajar dijadikan pertarungan antara UMNO, PAS, PH atau mana-mana parti kerana kepentingan utama ialah melindungi amanah pendeposit.
“Siapa pun yang menggunakan amanah pendeposit untuk kepentingan politik, dia mesti dipertanggungjawabkan. Tidak kira parti mana sekalipun.
“Amanah tidak mengenal parti,” katanya.
Dakwaan penggunaan kemudahan berkaitan TH bagi mendapatkan sokongan dalam pemilihan Ketua UMNO Bahagian Jerai sebelum ini dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Langkawi, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai tadbir urus dan kemungkinan wujudnya campur tangan politik dalam urusan institusi berkenaan.
Bersatu Melaka terbuka kerjasama dengan PH hadapi PRN
Mahu jawatan PM, UMNO perlu bersama dengan PN: PAS Selangor
Akmal sahkan Pemuda UMNO akan hadir Muktamar Pemuda PAS
Adam Adli: Rundingan BN-PH belum bermula, tapi masih terbuka
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri