DAP.
DAP menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempercepatkan agenda reformasi institusi, termasuk pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta cadangan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, untuk diluluskan sebelum hujung tahun ini.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata keputusan parti untuk terus bersama Kerajaan MADANI perlu disusuli tindakan konkrit terhadap reformasi yang menjadi antara tuntutan utama parti itu.
“Kita menggesa Perdana Menteri supaya mengambil tindakan segera untuk merealisasikan reformasi ini. Harus ada garis masa yang jelas dan tegas ditetapkan untuk reformasi institusi asas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Gobind berkata, kerja asas bagi Rang Undang-Undang (RUU) pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta cadangan had dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri sudah disediakan.
Beliau turut menggesa pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Perhimpunan Aman dimuktamadkan serta dibentangkan di Parlimen tanpa kelewatan.
Menurutnya, keterangan kementerian berkaitan pindaan SOSMA sudah dibentangkan di Parlimen pada Februari tahun lalu, manakala perbincangan mengenai pindaan Akta Perhimpunan Aman sudah berlangsung selama beberapa bulan.
Gobind turut mencadangkan sidang khas Parlimen atau persidangan tambahan Dewan Rakyat diadakan bagi membolehkan RUU reformasi berkenaan dibahas dan diluluskan.
“Kerajaan bertindak dengan pantas dengan mengadakan sesi khas Parlimen bagi laporan RCI Tabung Haji. Langkah yang sama harus diambil untuk agenda reformasi penting ini, atau hari persidangan tambahan diadakan pada sidang Dewan Rakyat akan datang khusus didedikasikan untuk perkara ini,” katanya.
Beliau menegaskan DAP kekal komited memastikan reformasi institusi dilaksanakan tanpa penangguhan lanjut.
“Kita patut menyasarkan supaya RUU ini diluluskan sebelum hujung tahun ini,” katanya.
Gesaan itu dibuat sehari selepas perwakilan DAP mengundi untuk terus kekal dalam Kerajaan MADANI bagi baki penggal Parlimen ini. Sebanyak 88 peratus atau 1,857 perwakilan memilih untuk kekal, manakala 242 undi memilih parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Daripada 2,230 perwakilan yang hadir pada Persidangan Parti DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), sebanyak 2,106 kertas undi dikeluarkan dan dikembalikan. Sebanyak 2,099 undi sah, manakala tujuh undi rosak.
Krisis Negeri Sembilan: MB umum dua pegawai kanan digantung tugas
DUN Melaka sah bubar esok, PRN bakal diadakan: Ab Rauf
Pembatalan lantikan Exco Negeri Sembilan sah, ada asas Perlembagaan: Peguam
Akaun TikTok Na’im disekat TikTok, bukan MCMC: Hakim Norliza
DUN Melaka dijangka bubar hari ini, PRN semakin hampir
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum