Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Pakatan Harapan (PH) sudah membuka ruang perbincangan dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Ab Rauf Yusoh berhubung kemungkinan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengarah Pilihan Raya PH, Amirudin Shari berkata, bagaimanapun, perbincangan lanjut masih menunggu beberapa keputusan dasar di peringkat UMNO dan Barisan Nasional (BN) Pusat.
Menurutnya, beliau sudah menghubungi Rauf bagi mendapatkan gambaran awal mengenai kemungkinan kerjasama itu.
“Saya sebenarnya sudah berhubung. Dia cakap dia tunggu beberapa keputusan dasar di peringkat UMNO Pusat dan BN Pusat untuk meneruskan perbincangan dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Program MADANI Bersama Komuniti Ampang Jaya, hari ini.
Amirudin berkata, PH tidak melihat rundingan itu sebagai usaha untuk menetapkan kerjasama dengan UMNO semata-mata, sebaliknya parti berkenaan terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan bersama.
“Kita bukannya menetapkan harus kerja dengan UMNO.
“Kita kena menetapkan untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak. Bila UMNO cakap boleh nak kerjasama, okeylah. Tak apa, kita bincanglah, tengoklah,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu penting dalam menghadapi landskap politik semasa yang memerlukan parti-parti politik mengutamakan kestabilan berbanding kepentingan politik jangka pendek.
Katanya, hubungan politik tidak sepatutnya dibentuk hanya berdasarkan label atau persepsi terhadap sesebuah parti.
“Politik memerlukan kesediaan semua pihak untuk melihat kepentingan lebih besar, khususnya kestabilan kerajaan dan kemakmuran negara,” katanya.
Amirudin turut menegaskan PH tidak mahu pengalaman ketidakstabilan politik sebelum ini berulang, terutama episod perpecahan yang menyaksikan kerajaan berubah dalam tempoh singkat.
“Kita tak nak ulangi dan kita kena tubuhkan kerajaan yang stabil,” katanya.
Perkembangan itu hadir ketika parti-parti politik mula memperkemas strategi menghadapi PRN akan datang, termasuk kemungkinan pembahagian kerusi dan bentuk kerjasama antara gabungan politik.
Sebarang keputusan mengenai kerjasama PH dengan UMNO dan BN dijangka bergantung kepada pendirian kepimpinan pusat kedua-dua pihak sebelum rundingan lebih rasmi dapat dimulakan.
Siasatan Tabung Haji diteruskan, PMX mahu elak kerugian berulang
Ketirisan disekat, wang rakyat akan dipulangkan: Anwar
Kes bendera terbalik: Mengapa MCA Perak diberi layanan berbeza dengan rakyat lain?
‘Maki saya pasal apa?’ Anwar nafi sokong judi, malah sudah dikurangkan
Mahfuz gesa Mufti Kedah beri panduan isu ‘doa pecah perut’ dibuat Sanusi
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri