Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berharap sambutan Hari Kebangsaan ke-69 yang berlangsung esok berjalan lancar dengan semua pihak terlibat memberikan komitmen terbaik.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur hari ini.
“Saya berharap sambutan kemerdekaan berlangsung dengan lancar dan tidak sabar untuk menyaksikan semua pihak yang terlibat memberikan usaha sebaiknya dalam memperingati peristiwa yang cukup penting dalam sejarah negara kita,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut mempersembahkan kepada Seri Paduka Baginda perkembangan terkini negara, termasuk persiapan bagi sambutan Hari Kebangsaan yang akan diadakan di Dataran Putrajaya.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini membawa tema **“Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”** dan dijadualkan bermula pada 8 pagi esok.
Acara berkenaan akan menyaksikan penyertaan 10,819 peserta perbarisan membabitkan 76 kontinjen serta 22 pasukan pancaragam.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dijadualkan berangkat menyaksikan sambutan berkenaan bersama Anwar serta barisan Jemaah Menteri.
Sementara itu, Anwar dijadual menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya petang ini.
Amanat itu dijangka menyentuh beberapa ikhtiar penting kerajaan termasuk perkara berkaitan kebimbangan dan kehidupan rakyat.
Sambutan Hari Kebangsaan menjadi acara utama tahunan negara bagi memperingati kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, selain menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
Tok Mat persoal keberkesanan UNHCR urus pelarian Rohingya
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum