Urus Setia jelas isu jemputan bekas PM

August 31, 2026 · Politik

Jemputan kepada bekas Perdana Menteri untuk menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan bukan norma kebiasaan dalam pengurusan acara rasmi utama Kerajaan Persekutuan.

Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan 2026 berkata amalan itu sudah dilaksanakan sejak 2018, termasuk bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini di Dataran Putrajaya, pagi tadi.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, Abdul Halim Hamzah, berkata jemputan tidak dipanjangkan secara automatik kepada bekas Perdana Menteri.

“Berdasarkan amalan sejak 2018, jemputan ke Sambutan Hari Kebangsaan tidak dipanjangkan secara automatik kepada bekas Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penjelasan itu susulan pertanyaan mengenai kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Menurut Abdul Halim, pengurusan jemputan bagi acara rasmi utama Kerajaan Persekutuan tertakluk kepada tatacara ditetapkan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, beliau berkata, ketiadaan jemputan secara automatik tidak bermaksud bekas pemimpin negara tidak boleh menghadiri sambutan berkenaan.

“Kehadiran mana-mana bekas pemimpin tidak dihalang dan boleh diuruskan melalui permohonan pihak berkenaan, selaras dengan tatacara serta pengurusan jemputan rasmi yang ditetapkan,” katanya.

Dalam masa sama, Urus Setia turut menerima makluman daripada Pejabat Perdana Menteri Dr Mahathir akan berada di luar negara dari 28 hingga 31 Ogos 2026.

Abdul Halim berkata, perjalanan itu dibuat berdasarkan permohonan Kemudahan Berehat ke Luar Negara yang diterima dan diluluskan Perdana Menteri, selaras dengan ketentuan Saraan Bekas Perdana Menteri di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].

Sambutan Hari Kebangsaan 2026 berlangsung di Dataran Putrajaya pagi tadi dengan penyertaan ribuan peserta perbarisan dan persembahan, selain kehadiran pemimpin kerajaan serta orang ramai dalam suasana penuh patriotik.

Isu jemputan bekas Perdana Menteri menjadi perhatian selepas ketidakhadiran Dr Mahathir mencetuskan persoalan mengenai amalan jemputan bagi bekas pemimpin negara ke acara berkenaan.

Urus Setia menegaskan pengurusan jemputan dibuat berdasarkan tatacara rasmi yang berkuat kuasa.

“Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan 2026 merakamkan penghargaan atas perhatian dan pemahaman semua pihak,” katanya.

Berita berkaitan
Buli siber, kandungan palsu tidak boleh dinormalisasikan: MCMC
October 19, 2026· Isu semasa
Caj hantar ubat RM5.60 ditanggung kerajaan, penerima luah syukur
October 16, 2026· Isu semasa
Penjawat awam nikmati rebat Pandapro hingga Disember
October 14, 2026· Isu semasa
Belanjawan 2027: RM5 bilion perkukuh internet, RM142 juta untuk NADI
October 11, 2026· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Ismail Lasim nafi letak jawatan MB Negeri Sembilan
3 jam lalu · Politik
Mahkamah gantung notis batal pendaftaran PN
10 jam lalu · Politik
12 tuntutan MA63 dalam empat tahun berjaya diselesaikan: Mustapha
10 jam lalu · Politik
Isu DAP: Amanah minta PAS hentikan politik sentimen
11 jam lalu · Politik
Adly: PH tidak tanding semua kerusi di Melaka
11 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok