Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh mengulas isu melibatkan Rafizi Ramli.
Siasatan akan dijalankan terhadap sembilan Ahli Parlimen (MP) PKR yang mengadakan sidang media bersama-sama dengan bekas timbalan presiden, Rafizi Ramli sebelum ini.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh dipetik laporan media memberitahu pihaknya sedang meneliti aduan yang dibuat terhadap Rafizi bersama beberapa MP lain yang bersamanya mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu badan kehakiman.
Beliau berkata laporan rasmi berhubung desakan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi.
“Gesaan tersebut sudah pun sampai kepada saya, dan saya telah dimaklumkan mengenainya. Kini, Pejabat Setiausaha Agung akan meneliti dan mengambil tindakan lanjut,” katanya lapor Bernama..
Menurut Fuziah, laporan itu akan dikaji berdasarkan kod tata etika parti bagi menentukan sama ada tindakan mereka melanggar peraturan parti.
“Saya hanya menjalankan tugas. Yang akan berbincang dan membuat keputusan adalah MPP. Kami mempunyai kod tata etika, jadi perlulah dikaji sama ada tindakan itu melanggarnya atau tidak,” katanya.
Terdahulu,Rafizi bersama lapan Ahli Parlimen lain dari parti itu tampil dalam satu sidang akhbar mendesak kerajaan menubuhkan RCI serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) berkaitan pelantikan kehakiman.
Semalam, 19 Ketua Cabang PKR Johor dan 11 Ketua Cabang PKR Kedah turut menggesa agar siasatan tatatertib dilakukan dan keahlian sembilan ahli parlimen itu digantung sementara.
Mengulas lanjut, Fuziah memaklumkan bahawa desakan tersebut telah diterima oleh pejabatnya lebih awal sebelum ia disebarkan kepada media.
Aziz Bari: PAS parti politik, bukan agama
Zahid beri jaminan, kemelut calon MCA akan diselesaikan
Tolak politik kebencian, perkukuh perpaduan: Anwar
PRN Melaka: Zahid mahu jentera BN terima PAS, alu-alukan kerjasama
BN umum 21 calon, Akmal dan Helmy kekal bertanding
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum