Muhammad Kamil Abdul Munim.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim mengingatkan tindakan berbelanja melebihi peruntukan diluluskan perlu dipandang serius kerana boleh memberi tekanan kepada kewangan negara.
Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata, setiap kementerian perlu memastikan perbelanjaan dibuat selaras dengan peruntukan yang ditetapkan.
“Macam mana nak cukup kalau belanja lebih daripada peruntukan yang telah ditetapkan.
“Besar pasak daripada tiang. Jahanam negara macam ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Kenyataan itu susulan laporan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican mengenai perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi projek jalan luar bandar yang didakwa melebihi peruntukan tahunan diluluskan sejak beberapa tahun lalu.
Menurut laporan itu, perbelanjaan sebenar KKDW pada 2023 berjumlah RM1.8 bilion berbanding peruntukan RM1.1 bilion, manakala pada 2024 perbelanjaan mencecah RM2 bilion berbanding RM1.3 bilion yang diluluskan.
Pada 2025 pula, kementerian itu membelanjakan RM2.3 bilion berbanding peruntukan RM1.6 bilion.
Bagi 2026, KKDW menerima peruntukan RM2.1 bilion, namun perbelanjaan sebenar setakat Jun lalu sudah mencapai RM1.9 bilion.
Johan dilaporkan berkata Kementerian Kewangan (MOF) sedang bekerjasama dengan KKDW bagi menyusun semula peruntukan berdasarkan keutamaan, susulan kedudukan perbelanjaan projek berkenaan.
Bagaimanapun, KKDW menafikan dakwaan kementerian itu berbelanja melebihi peruntukan diluluskan.
KKDW menjelaskan pembayaran dibuat bagi memenuhi komitmen serta tunggakan projek yang timbul ketika era pandemik COVID-19.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Fadzmel Fadzil pula berkata tatacara kewangan kerajaan tidak membenarkan kementerian membuat perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan.
Isu itu kini menjadi perhatian susulan keperluan memastikan pengurusan peruntukan kerajaan dibuat secara berhemah, khususnya membabitkan projek pembangunan luar bandar yang menggunakan dana awam.
Bersatu bimbang mesyuarat khas MT PN berdepan risiko undang-undang
Aziz Bari: PAS parti politik, bukan agama
Zahid beri jaminan, kemelut calon MCA akan diselesaikan
Tolak politik kebencian, perkukuh perpaduan: Anwar
PRN Melaka: Zahid mahu jentera BN terima PAS, alu-alukan kerjasama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum