iQIYI turunkan 6 episod Madu atau Racun, baki enam lagi ditangguhkan

September 2, 2026 · Isu semasa

​Platform penstriman iQIYI bersetuju menurunkan sementara enam episod drama Madu atau Racun yang telah disiarkan manakala baki enam episod ditangguhkan bagi membolehkan kesemua 12 episod disunting dan dinilai semula.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Azmir Saifuddin Mutalib berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas bersama iQIYI dan syarikat produksi berkenaan atas arahan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata iQIYI dan penerbit turut memohon maaf, menerima teguran, pandangan FINAS serta panel penilai bagi menambah baik kandungan drama berkenaan.

“Pihak iQIYI dan penerbit bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu ini serta bersetuju menurunkan sementara episod yang telah dimuat naik,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di Bangunan Utama FINAS Hulu Kelang hari ini.

Azmir berkata suntingan akan dibuat berdasarkan garis panduan Lembaga Penapis Filem (LPF) serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bagi kandungan penstriman OTT (over-the-top) sebelum kesemua 12 episod dinilai panel berkenaan.

Beliau berkata tiada tempoh khusus ditetapkan untuk drama itu dimuat naik semula kerana ia bergantung kepada pihak produksi dan iQIYI mengemukakan versi baharu untuk dinilai.

“Selepas panel berpuas hati dengan versi yang dipaparkan, barulah ia dibenarkan untuk tontonan umum,” katanya.

Azmir juga berkata aspek penapisan dan kandungan bukan di bawah tanggungjawab agensi itu berdasarkan Akta FINAS, yang antara lain merangkumi aktiviti penggambaran, kawal selia pekerja dan syarikat produksi serta pelesenan pawagam.

Beliau berkata ketika ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengawal selia Internet serta stesen televisyen manakala kerangka kawal selia bagi kandungan OTT masih dalam proses penggubalan.

Azmir berkata FINAS bagaimanapun mempunyai punca kuasa menerusi Sijil Perakuan Penggambaran (SPP), yang perlu diperoleh syarikat produksi di Malaysia termasuk bagi kandungan untuk platform antarabangsa, OTT dan YouTube.

Beliau berkata FINAS sedang meneliti kemungkinan memasukkan syarat tambahan dalam SPP bagi membolehkan tindakan diambil terhadap syarikat produksi sekiranya kandungan yang dihasilkan menimbulkan keresahan atau menjejaskan sensitiviti agama, kaum dan keharmonian masyarakat.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pihaknya menolak penayangan drama berkenaan dan kesal dengan penerapan elemen yang menyentuh sensitiviti agama serta norma budaya tempatan.

Drama 12 episod terbitan MIG Production Sdn Bhd dan arahan Eyra Rahman itu yang dibintangi Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha mula ditayangkan di iQIYI pada 14 Ogos lepas. – Bernama

Berita berkaitan
Buli siber, kandungan palsu tidak boleh dinormalisasikan: MCMC
October 19, 2026· Isu semasa
Caj hantar ubat RM5.60 ditanggung kerajaan, penerima luah syukur
October 16, 2026· Isu semasa
Penjawat awam nikmati rebat Pandapro hingga Disember
October 14, 2026· Isu semasa
Belanjawan 2027: RM5 bilion perkukuh internet, RM142 juta untuk NADI
October 11, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
4 jam lalu · Isu semasa
Jangan tular video insiden sekolah: MCMC
8 jam lalu · Isu semasa
Data 7.7 juta pengguna Waze didakwa dijual di dark web
10 jam lalu · Isu semasa
Super El Nino dijangka berlarutan hingga Januari 2027
12 jam lalu · Isu semasa
Jerebu: Malaysia tuntut Indonesia bertindak, bawa isu ke ASEAN
12 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok