Kerjasama UMNO-PAS.
PAS mengesahkan akan memenuhi jemputan UMNO untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 12 September ini.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, parti itu akan menentukan barisan pimpinan yang akan mewakili PAS pada perhimpunan tahunan UMNO berkenaan.
“Kita akan menghantar wakil nanti dan kita akan putuskan siapa wakilnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-72 di Pengkalan Chepa, Kelantan, hari ini.
Menurut Hadi, kehadiran pimpinan UMNO pada Muktamar PAS Ke-72 turut dilihat sebagai perkembangan positif dalam hubungan antara kedua-dua parti.
“Pada masa sama, kehadiran pimpinan UMNO diketuai Setiausaha Agung, Asyraf Wajdi Dusuki, pada muktamar hari ini menandakan sikap keterbukaan dan sangat positif atas jemputan kita,” katanya.
Sebelum ini, UMNO mengundang kepimpinan tertinggi PAS menghadiri PAU 2026 yang akan berlangsung selama empat hari bermula 9 September.
Keputusan untuk menjemput PAS itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 28 Ogos lalu.
Jemputan berkenaan hadir ketika hubungan PAS dan UMNO kembali mendapat perhatian susulan kehadiran pimpinan UMNO pada Muktamar PAS kali ke-72.
Perkembangan itu turut dilihat membuka ruang kepada kedua-dua parti untuk mengekalkan hubungan politik, meskipun PAS dan UMNO kini berada dalam gabungan politik berbeza.
Kehadiran wakil PAS ke PAU 2026 nanti dijangka menjadi antara perkembangan yang akan diperhatikan, terutama ketika landskap politik negara mula memasuki fasa persediaan menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Zahid: PN hanya dapat tujuh kerusi, tak layan tuntutan lebih-lebih
Rafizi mahu saman Ramanan susulan kenyataan media
AGC bawa kes pembatalan pendaftaran PN ke Mahkamah Rayuan
DUN Sarawak bubar 26 Oktober ini, beri laluan PRN diadakan
Kerajaan terus buru aset 1MDB walaupun Najib diampunkan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum