PSA perkukuh peranan legislatif, perkasa Jawatankuasa Pilihan Khas: Johari

September 8, 2026 · Isu semasa

Pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) memberi ruang kepada institusi Parlimen memperkemas peranan legislatif, termasuk memperkukuh fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas dalam membantu kerajaan mengenal pasti kelemahan serta mendekati isu rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, berkata pelaksanaan PSA mewujudkan suasana baharu selepas Parlimen berada di bawah eksekutif selama 33 tahun, sekali gus membolehkan institusi legislatif memainkan peranan yang lebih bebas dalam menyumbang kepada kemakmuran negara.

Beliau berkata, menerusi 10 jawatankuasa berkaitan kementerian yang diwujudkan, setiap jawatankuasa dianggotai 12 Ahli Parlimen terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang yang tidak memegang jawatan menteri atau timbalan menteri.

“Mereka mempunyai terma rujukan yang luas dan kuasa di bawah Peraturan-Peraturan Mesyuarat untuk memanggil mana-mana pihak bagi sesi pendengaran berhubung isu yang dirasakan membabitkan rakyat atau kelemahan dalam pelaksanaan kementerian.

“Jawatankuasa ini akan membuat laporan dan cadangan yang kemudiannya boleh dibahaskan di Dewan Rakyat. Ini membolehkan pandangan dan cadangan mereka diberi perhatian serius oleh pihak eksekutif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia 2026 yang dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.

Johari berkata, pendekatan itu membolehkan sebarang kelemahan atau isu yang mungkin terlepas pandang di peringkat kementerian dikenal pasti lebih awal sebelum menjadi masalah lebih besar.

Beliau berkata, sebelum ini keputusan besar banyak dibuat di peringkat eksekutif dan sekiranya berlaku kelemahan dalam pelaksanaan, ia boleh mencetuskan isu berpanjangan.

Selain itu, katanya, PSA turut memudahkan Parlimen merancang dan melaksanakan perubahan kerana keputusan berkaitan legislatif kini dibuat oleh speaker dan Parlimen, manakala menteri yang menjaga hal undang-undang dan Parlimen berperanan sebagai penyelaras.

Dalam pada itu, Johari berkata Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia 2026 menjadi platform berkongsi amalan terbaik antara Parlimen Malaysia dan DUN bagi memperkukuh hubungan legislatif di peringkat Persekutuan dan negeri berlandaskan prinsip federalisme.

Beliau berkata, persidangan itu menjadi platform untuk membincangkan pelbagai cadangan penambahbaikan dan menghasilkan resolusi yang boleh dijadikan garis panduan bagi pergerakan institusi legislatif pada masa hadapan.

Katanya, antara perkara yang boleh diperkasakan ialah usaha mendekatkan institusi legislatif dengan rakyat, termasuk menyediakan lebih banyak ruang kepada masyarakat dan pelajar untuk terbabit dengan Parlimen serta DUN.- Bernama

Berita berkaitan
Hadi: Semua kerusi PAS wajib dipertahan pada PRU depan
September 4, 2026· Politik
DUN Melaka bubar selepas Perhimpunan Agung UMNO?
September 3, 2026· Politik
BN tunggu DUN Melaka bubar sebelum runding kerjasama: Zahid
August 30, 2026· Politik
BN mahu pertahan 21 kerusi di Melaka, PRN pada bila-bila masa
August 28, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Fahmi: Malaysia mahu ASEAN bersatu bendung ancaman dalam talian
3 jam lalu · Isu semasa
Harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi naik 25 sen
4 jam lalu · Isu semasa
Haji 2027: B40 bayar RM15,000, T20 RM33,300
6 jam lalu · Isu semasa
Anwar terkesan kehilangan juruterbang Zainol Afiq dalam nahas
7 jam lalu · Isu semasa
Helikopter terhempas, Jemaah Menteri sampaikan takziah kepada keluarga lima mangsa
7 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok