Ahmad Zahid berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mendesak Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) disegerakan sebelum tempoh Parlimen Penggal Ke-15 berakhir tahun depan.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, mandat perlu dikembalikan kepada rakyat dan UMNO bersedia berdepan mana-mana lawan politik di medan PRU16.
“Ini bukan desakan mahupun harapan, tetapi ini adalah kehendak rakyat. Cukup-cukuplah, beri peluang kepada kami pula.
“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang hendak lawan, kita lawan. Walaupun DNA kita memimpin, kemenangan tidak datang bergolek, selain perlu memahami strategi dan realiti persekitaran semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada masa sama memberi bayangan gabungan itu bakal melalui evolusi, mengambil kira kemungkinan wujud kerjasama strategik dengan parti tertentu.
Tanpa menyebut mana-mana parti, beliau menggunakan gambaran warna politik untuk menjelaskan perubahan yang mungkin berlaku dalam landskap kerjasama BN.
“Apabila ‘biru’ bertemu ‘hijau’, sudah tentu akan berlaku perubahan ‘warna’ asal,” katanya.
Kenyataan itu hadir ketika hubungan UMNO dan PAS kembali menjadi perhatian selepas beberapa pimpinan tertinggi PAS hadir pada PAU 2026, termasuk Naib Presiden PAS, Idris Ahmad; Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan; Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari serta Mohd Syahir Che Sulaiman.
Kehadiran pimpinan PAS itu dilihat sebagai perkembangan penting susulan kunjungan balas selepas Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke-72 di Kelantan minggu lalu.
UMNO dan PAS sebelum ini pernah menjalinkan kerjasama politik menerusi Muafakat Nasional (MN) pada 2019 sebelum hubungan kedua-dua parti berubah susulan perkembangan politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Tempoh Parlimen Penggal Ke-15 dijangka berakhir pada 2027, sekali gus memberi ruang kepada kerajaan untuk menentukan masa sesuai bagi PRU16.
Gesaan Ahmad Zahid kali ini memperlihatkan UMNO mahu parti bersiap lebih awal menghadapi persaingan politik pada pilihan raya akan datang.
Pemuda Amanah Perak gesa SPRM semak kekayaan anak Azeez
Zahid mahu GST kembali, puji sistem era Najib
Pimpinan PAS muncul di PAU, kerjasama pilihan raya jadi tanda tanya
Sampai 2039, rakyat masih tanggung hutang 1MDB: PKR
Jangan takut RCI Tabung Haji jika tidak salah, kata AMK kepada UMNO
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum