Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, menjelaskan pandangannya berhubung permohonan pengampunan Najib Razak dibuat selepas beliau meneliti pendapat bertulis Peguam Negara.
Hannah yang juga anggota Lembaga Pengampunan berkata pandangan itu disampaikan secara jujur dan berterus terang berdasarkan pertimbangan hati nurani serta kepentingan negara.
“Saya telah menyatakan pandangan dengan jujur dan berterus terang, berlandaskan hati nurani saya demi kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berhubung penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri itu.
Hannah berkata pandangan yang disampaikan dalam mesyuarat berkenaan dibuat dalam kapasiti beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan turut menetapkan kuasa pengampunan bagi perkara berkenaan, termasuk keputusan akhir, berada pada Yang di-Pertuan Agong.
“Tentunya, selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Negara, kuasa dan keputusan muktamad terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong termasuk untuk menangguhkan apa-apa keputusan mengenai pengampunan Najib,” katanya.
Sebelum ini, Azalina menjelaskan sebarang persoalan atau penjelasan berkaitan penangguhan permohonan pengampunan Najib perlu dirujuk kepada Hannah.
Azalina berkata beliau bukan menteri yang bertanggungjawab terhadap Lembaga Pengampunan, manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di bawah kementeriannya hanya menjalankan fungsi sebagai sekretariat.
Pada 11 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan untuk dibawa ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang.
Perkembangan itu menjadi perhatian susulan kedudukan Najib yang sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan dalam kes SRC International. Permohonan pengampunan sebelum ini membawa kepada keputusan pengurangan hukuman penjara dan denda oleh Lembaga Pengampunan pada 2024.
CSA jadi Dajal apabila PAS jadi pembangkang? Mahfuz persoal Hadi
PRN Melaka: Azman mahu anak muda Paya Rumput kerja dekat kampung sendiri
Pemimpin PKR kecam Hadi kaitkan CSA dengan pendekatan Dajal
CSA: PH Melaka bidas Hadi, gesa hentikan politik melabel cetus perpecahan
Isu MOF-KKDW: Anwar tegaskan perbezaan pandangan bukan tanda perpecahan
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum